Ahad, 4 Mac 2012

PULIH KEMBALI (10/2012) - DIKEMASKINI DENGAN PEMBETULAN EJAAN

SELAMAT PULANG!!!!!

LEWAT petang ini (4/3/2012) aku terima panggilan telefon dari AMAT RIPALDI, seorang dari tiga pekerja maherku yakni SUDIR dan BAKRI selain dari AMAT RIPALDI yang ditahan oleh pihak imigresen sejak 18/1/2012 kerana tidak mempunyai dokumen yang lengkap. 
          Suaranya sedih sambil meminta maaf kerana mereka menganggap mereka telah menyusahkanku, sebaliknya aku menjelaskan bahawa akulah yang patut meminta maaf kerana menyebabkan mereka ditahan gara-gara menasihatkan mereka jangan lari bila serbuan dibuat.
          Kalau mereka lari mungkin mereka tidak ditangkap. Contohnya Banggla di bilik sebelah (kini sudah berpindah ke lokasi lain) masih bebas lepas. 
         Demikian juga dengan rakan-rakan yang tinggal di kongsi lain, masih bebas selain dari majikan mereka anggota RELA, mereka juga akan segera cabut bila orang tidak dikenali datang ke kongsi. 
         Sama ada mereka dilayan dengan baik atau sebaliknya semasa dalam depoh, hanya mereka yang tahu. Cuma yang dimaklumkan padaku, sehari dalam depoh macam setahun. Cuma aku agak terkilan, sebagaimana mereka ditahan dan dibawa ke depoh tanpa memaklumkan kepadaku, mereka dihantar pulang juga tidak diberitahu padaku, sebaliknya pekerjaku itu sendiri yang memaklumkan.
         Apa-apa pun tak apalah. Mereka bebas dan dapat kembali ke negara asal adalah sutau kemujuran yang amat bangat.  Mudah-mudahan mereka tidak hilang hormat terhadap bangsa serumpun seanutan agama di negara ini ekoran penahanan mereka. 
        Aku berpesan kepada mereka, terimalah hakikat bahawa mereka berada di Malaysia tanpa dokumen yang sah. Rakyat Malaysia-Indonesia adalah sedarah sedenyut nadi.Semangat persaudaraan serantau mesti tertanam disanubari masing-masing.
          Kepada mereka juga aku jelaskan bahawa kerana mereka ditahan semasa bermajikan aku, maka tugas aku memperjuangkan pembebasan mereka walaupun mungkin aku akan terdedah kepada dakwaan serta kemungkinan akan didenda, dipenjara dan dirotan. Aku bersedia mengambil segala risiko asalkan keharmonian dua negara tetap terpelihara.
          Mereka kini berada di Tanjung Pinang, dalam perjalanan pulang ke Lombok Timur. Maknanya mereka sudah dibebaskan dari depoh tahanan imigresen Pekan Nenas apabila mereka yang dibawa dari depoh tahanan Ajil ke Pasir Gudang tidak jadi dihantar balik pada 16/2/2012, suatu tragedi yang memeranjatkan dan menyebabkan anggota keluarga mereka sedikit kecewa dan memarahiku yang sebelumnya mereka sangat hormati. 
          Terima kasih kepada semua pihak, terutama Pejabat Menteri Dalam Negeri, Jabatan Imigresen kerana akhirnya ketiga-tiga mereka dibebaskan. Ertinya isteri, anak, ibubapa, kaum keluarga dan seisi kampung pekerja maherku itu tidak akan kutuk aku lagi kerana sebelum mereka dimaklumkan dan mereka percaya ketiga-tiga mereka paling kurang pun akan menjadi penghuni depoh tahanan selama enam bulan. 
          Walaupun aku terpaksa berundur dari industri sawit kerana gagal memenuhi target kaitan buah serta sukar untuk dapatkan pekerja maher yang mempunyai permit dan dokumen lengkap, namun aku berpuashati apabila pekerja yang ditangkap semasa bermajikan aku dibebaskan.
          Aku susah (termasuk tugas sebagai kolumnis portal DETIKPERUBAHAN.COM dan kontrak kait sawit dengan Felcra Berhad Pondok Nyamuk penempatan di Padang Bual dibatalkan) tak apa tetapi aku akan amat berdukacita seandainya orang lain susah keranaku.
          Aku tahu sama ada portal DETIKPERUBAHAN.COM mahu pun pengurusan Felcra Berhad Pondok Nyamuk bimbang mereka akan diserek sama jika aku didakwa kerana dilihat dalam usaha yang aku lakukan dalam usaha pembebasan para pekerja maherku besar risikonya, aku hanya bersenjatakan kentut kepal untuk melawan satu ketahanan yang lengkap bersenjata moden. Langkah terbijak mereka adalah jauhkan diri dari aku.
         Apa pun terima kasih kepada pengurusan portal DETIKPERUBAHAN.COM dan Felcra Berhad Pondok Nyamuk kerana memberi banyak pengalaman, pengajaran dan secara tidak sengaja mendorong aku mendapat banyak maklumat serta dapat menilai betapa dalam segala urusan, kepentingan sehala menjadi keutamaan manakala soal kepentingan dua hala dipijak ligan.
        Pada kesempatan ini aku ingin merakamkan ucapan terima kasih dan menzahirkan rasa amat terharu atas perhatian dan dombaan semangat dari pelbagai pihak, termasuk Kementerian Buruh Republik Indonesia, Persatuan Buruh Indonesia, Persatuan Anak-Anak Lombok Timur dan orang perseorangan di negara ini mahu pun di Republik Indonesia yang tidak dapat aku catatkan satu persatu. Paling pokok keharmonian hubungan dua negara kena terus mantap.
          Banyak masa, tenaga, buah fikiran dan wang ringgit aku habiskan dalam memperjuangkan pembebasan mereka, sehingga aku yakin ramai di kalangan kakitangan imigresen khasnya dan KDN amnya panas hati dengan aku. Percayalah kalau mereka ditempat aku, mereka juga akan bertindak macam aku. Tidak ada orang yang boleh rasa siksa sakit gaut dengan sebenar-benarnya kalau tidak pernah merasakannya. Tidak ada orang yang rasa resah gelisah sebagai majikan kalau tidak pernah menjadi majikan.
          Ekoran pembebasan AMAT RIPALDI, SUDIR dan BAKRI, maka aku anggap kes rayuan dan usaha pembebasan mereka telah selesai. Kalau masih ada tawaran diterima dari Felcra atau mana-mana pihak supaya aku kembali ke industri sawit, aku akan kembali apabila proses-proses pemutihan dipermudahkan dan kosnya dipermurahkan serta masalah selit-sepit bagi melancarkan urusan dibersihkan. Dari apa yang berlaku. banyak maklumat tak molek yang aku dapat.
         Pada kesempatan ini aku dengan segala rendah diri memohon maaf kepada YAB Perdana Menteri, YB Menteri Dalam Negeri, YAbrs Ketua Setiausaha KDN, YAbrs Ketua Pengarah Imigresen serta para pegawai KDN dan Imigresen semua peringkat kerana barangkali aku telah mengambil banyak masa mereka sepanjang ketiga-tiga pekerja maherku ditahan.
         Apa pun aku bersedia menghadapi pendakwaan dari imigresen atau mana-mana pihak jika apa yang telah aku lakukan bersifat menderhakai negara. Sama ada dihukum denda, dipenjara atau dirotan, aku bersedia menerimanya dengan redha. Yang penting industri sawit tetap stabil dan tidak akan mengalami masalah sebagaimana yang dialami oleh industri penanaman sayur di Cameron Highland.
        Yang semua orang kena tahu, industri sawit yang menjadi antara komoditi negara kini menyumbang perolehan RM80 bilion (RM80,000 juta) setahun. Antara mereka yang berada dalam industri adalah para pekebun kecil yang tanah mereka dibangunkan secara bersepadu oleh Felcra atau Risda. Bila industri tergugat, pendapatan negara terencat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan