Rabu, 1 Ogos 2012

PAHIT BERUBAT (2/2012)


Cuba jadikan puasa kali ini untuk mengubah pendekatan berpolitik

MEMAKI hamun, mencaci, memperlekeh, mentohmah, menfitnah dan berprasangka buruk dan memburukkan lawan, termasuk yang bersifat peribadi menjadi asam garam, rempas ratus lumrah dan budaya kepada pemain politik di negara ini.
                Masing-masing semacam lupa dengan firman Allah melalui ayat 148 surah Al-Maaidah yang bermaksud;
“Allah tidak menyukai ucapan buruk (yang diucapkan) dengan terus terang kecuali oleh orang yang dianiaya. Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”
Kalau dianiaya pun tetapi dimaafkan orang yang buat aniaya, Allah lebih suka. Ini terbukti kalau diperhatikan ayat 149 surah Al-Maaidah yang bermaksud;
“Jika kamu menyakan sesuatu kebaikan atau menyembunyikan atau memaafkan sesuatu kesalahan (orang lain), maka sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Kuasa”
Merujuk kepada pemain politik di negara ini, bukan setakat di pentas-pentas ceramah di luar musim pilihanraya serta di lama-laman sosial mahu dan di akhbar-akhbar lidah resmi parti politik sahaja, tetapi di parlimen dan dewan-dewan undangan negeri juga budaya melanyak parti lawan dan menjulang parti sendiri turut menjadi budaya.
Sepatutnya di parlimen atau dewan-dewan undangan negeri kena disifarkan bayangan politik kepartian kerana di parlimen atau dewan-dewan undangan negeri bukan untuk gelanggang pertikaman lidah atas nama wakil parti-parti politik.Kerana itu lambang parti tidak boleh dibawa masuk.
Di parlimen dan dewan-dewan undangan negeri adalah gelanggang perbahasan antara pihak kerajaan dengan pihak pembangkang, tidak kiralah apa parti pun yang membentuk kerajaan kerana diberi mandat oleh pengundi maka ianya adalah kerajaan manakala yang diberi menang sebagai pembangkang, ianya adalah mewakili pembangkang.
Sama ada pihak kerajaan atau pembangkang, masing-masing menerima mandate rakyat dan masing-masing memainkan peranan dan meminkul tanggungjawab yang sama penting dengan kerajaan kena memberi khidmat terbaik kekerajanan manakala pembangkang pula kena membei khidmat terbaik dari sudut kepembangkangan.
                Malangnya di Malaysia , hakikat dan natijahnya walaupun pahit diperakukan, ialah pemain-pemain politik lebih banyak menghabiskan masa berpolitik kepartian dengan melanyak parti dan pemimpin lawan serta menjulang parti dan pemimpin sendiri, termadu di parlimen dan dewan-dewan undangan negeri yang sepatutnya soal-soal politik kepartian tidak dibawa masuk.
                Apabila politik kepartian dibawa masuk ke dalam perbahasan di parlimen atau dewan-dewan undangan negeri, ianya bukannya akan menyumbangkan kepada menyelesaikan masalah negara dan rakyat tetapi akan menimbul kekalutan dan kecelaruan yang tidak aka nada penghujungnya kerana dalam keadaan apa sekali pun parti sendiri akan dipertahankan manakala pari lawan akan dilanyak habis-habisan.
                Ekoran dari itu maka mandate yang diberikan oleh pengundi sama ada kepada calon yang mewakili parti yang membentuk kerajaan mahu pun yang mewakili pembangkang tidak banyak memberi menfaat  dan faedah kepada pengundi, sekali gus tidak menepati tujuan dan matlamat pemberian mandat oleh para pengundi.
                Sepatutnya setelah selesainya pilihanraya, tugas wakil-wakil rakyat adalah menyempurnakan mandate rakyat yang mengharapkan kehidupan mereka dan negara pada penggal baru jauh lebih baik dari penggal-penggal sebelumnya. Tugas itu menjadi tanggungjawab kerajaan yang kena menjadi kerajaan yang sentiasa lebih baik kerana rakyat yang memegang kuasa untuk sentiasa memerhati.
                Tugas pembangkang pula adalah menegur segala kelemahan supaya dapat dibaiki oleh kerajaan di samping mengemukakan cadangan bagi penambah-baikan untuk menjadikan yang tidak sempurna menjadi sempurna, yang lambat menjadi cepat, yang lemah menjadi kuat.
                Kerajaan tentu akan menerima kritikan, teguran dan cadangan pembangkang kerana memang itu tugas pembangkang yang menerima mandate dari pengundi. Tetapi mana mungkin kerajaan akan menerima teguran dan cadangan yang dibuat atas nama politik kepartian.
                Demikian juga pihak pembangkang, sudah tentulah hujjah-hujjah mahu pun rangka dan kerangka bagi pembangunan negara dan rakyat yang dibayangi kepentingan politik kepartian akan ditolak. Mungkin secara kasarnya nampak yang dimaki hamun adalah wakil rakyat yang mewakili kerajaan atau pembangkang, tetapi hakikat dan natijah pengundi selaku pemberi mandatlah yang dimaki hamun. Kalau demonstrasi dan perhimpunan haram diadakan bagi tujuan mencabar dan melawan kerajaan umpamanya secara tidak langsung ianya bererti berdemonstrasi dan berhimpun melawan majoriti rakyat yang memberi mandate kepada penubuhan kerajaan.
Justeru, yang patut menjadi perbahasan dalam di parlimen atau dewan-dewan undangan negeri adalah yang ada kepentingan rakyat dan negara serta negeri, yang berkaitan dengan politik kepartian kena dirancakkan hanya semasa kempen pilihanraya sahaja.
Pihak kerajaan mahu pun pembangkang sepatutnya kena berlumba-lumba menunjukkan prestasi dan reputasi yang terbaik kerana rakyat akan membuat penilaian sama ada kerajaan yang memerintah patut terus jadi kerajaan atau pembangkang yang patut menjadi kerajaan dan kerajaan yang ada kena bertukar jadi pembangkang.
                Sesungguhnya tidak ada kesilapan yang tidak boleh diperbetulkan. Sempena bulan puasa tahun kali yang tentunya masing-masing bergencatan-senjata dari memaki hamun lawan di kalangan pemain politik dijadikan titik permulaan bagi mengubah pendekatan politik kepada budaya maki hamun yang dangkal dengan pendekatan yang lebih profosional tanpa maki hamun tetapi masing-masing cuba tunjuk kelebihan secara bersopan, beradat, beradab dan bersih dari maki hamun, mencaci, memperlekeh, menfitnah, mentohmah dan berprasangka buruk.
                Ini penting supaya rakyat bukan sahaja tidak melihat politik dan orang politik tidak memberi faedah ke arah penyatuan ummah tetapi membawa kepada permusuhan dan pemusnahan silatur-rahim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan