Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Ahmad Yaakob mendakwa Kelantan memerlukan RM2 bilion (RM2,000 juta) bagi menyelesaikan krisi air bersih di negeri  itu yang merupakan masalah berpanjangan dan memasalahkan seluruh rakyat tidak kira sama ada  ianya orang muda, warga emas atau bayi.
                Air merupakan keperluan asas terpenting bukan sahaja untuk mandi manda, minum, memasak makanan dan mencuci pakaian tetapi juga diperlukan untuk wuduk, mandi hadas terutama bagi pasangan suami isteri  dan mandikan mayat. Tanpa air pelbagai kesusahan dan kesulitan akan dihadapi.
                Manakala Pengerusi Jawatankuasa Perancang  Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Dato’ Husam Musa pula merancang untuk mendapatkan sumbangan derma dari jutawan Asia Barat di samping derma dari rakyat sedang dipungut bagi merealisasikan pembinaan Lebuhraya Rakyat Kota Bharu-Kuala Krai sepanjang 78 kilometer.
                Lebuhraya berkenaan menelan kos  pembinaan RM1.8 bilion (RM1,800 juta), kurang RM200 juta lagi untuk mencecah angka RM2 bilion yang diperlukan bagi menyelesaikan krisis air bersih dan masalah muncung paip hanya keluar angin di banyak kawasan di Kelantan.
                Jika direnung dalam-dalam, nampaknya berbanding dengan masalah yang menjadi masalah harian rakyat tanpa mengira  usia dan taraf kedudukan, Kerajaan Negeri Kelantan lebih memberi  tumpuan dan keutamaan kepada pembinaan lebuhraya rakyat manakala masalah krisis air tidak sepeduli sebagaimana lebuhraya dipedulikan.
                Selain dari derma telah, sedang dan akan dipungut dari rakyat di samping dicadangkan bagi mendapatkan sumbangan derma dari  jutawan Asia Barat, perletakan batus asas pembinaan lebuhraya berkenaan telah dilakukan oleh Menteri Besar,  Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika cadangan projek pembinaan lebuhraya itu belum lagi diluluskan dalam mesyuarat exco.
                Sudah pasti ramai yang sukar untuk mendapatkan jawapan bagi  pertanyaan kenapa antara air yang menjadi keperluan sepanjang masa rakyat Kelantan  dengan lebuhraya bagi mengatasi masalah lalulintas hanya pada musim perayaan, tumpuan dan keutamakan lebih diberikan kepada pembinaan lebuhraya.
                Tumpuan dan keutamaan dalam pembinaan lebuhraya nampak jilah apabila walaupun mesyuarat exco belum luluskan cadangan pembinaan lebuhraya rakyat, perletakkan batus asas telah dibuat dan pungutan derma bagi menampung kos pembinaan telah dan sedang berjalan.
                Pelik, aneh dan ajaibnya apabila kontraktor juga dikatakan sanggup kerugian RM100,000 sebulan kerana penempatan jentera pembinaan sedangkan kerja-kerja pembinaan belum bermula kerana mesyuarrat exco belum meluluskannya.  Jumlah kerugian itu  tidak termasuk kos insurans dan bayaran elaun pasukan keselamatan bertugas.
                Kenapa kalau bagi membina lebuhraya boleh dapat dipungut derma daripada rakyat dan dicadangkan untuk mendapat sumbangan dari jutawan Asia Barat, pasal apa perkara yang sama , yakni pungutan derma dari rakyat dan dari jutawan Asia Barat tidak dilakukan bagi mengatasi  krisis air sejak lama dulu?.
                Memandangkan jumlah pinjaman tanpa faedah dari kerajaan pusat berjumlah RM600 juta (ketika itu harga bahan binaan masih murah berbanding sekarang) tidak mencukupi kerana yang diperlukan adalah RM2 bilion, ertinya bagi atasi krisi air di Kelantan, jumlah yang diperlukan RM1.4 bilion sahaja lagi, satu jumlah yang lebih rendah berbanding kos yang diperlukan bagi pembinaan lebuhraya berjumlah RM1.8 bilion.
                Rasanya rakyat Kelantan akan lebih ringan tangan menderma jika pungutan dibuat bagi mengatasi krisis air kerana mereka semua guna air berbanding dengan lebuhraya yang hanya akan menjadi keperluan kepada mereka yang berkereta dan bukannya satu keperluan bagi yang  tidak memiliki kenderaan, atau pun kalau kenderaan yang dimiliki hanya sekadar basikal tua.
                Malah rakyat terbanyak tentu bertanya mana yang lebih berpahala antara memungut derma untuk kos pembinaan lebuhraya rakya dengan seanfainya derma dipungut bagi mengatasi masalah air yang agak kronik di Kelantan.