WALAUPUN bukan lagi berstatus pengamal media yang bermajikan, tetapi atas nama pengamal media selama kira-kira 31 tahun, saya merasa tercabar oleh larangan Kerajaan Negeri Kelantan membenarkan wartawan Utusan membuat liputan persidangan Dewan Undangan Negeri.
Saya tidak tahu sejauh mana bersepakat dan sedarah sedenyut nadinya para petugas media cetak dan elektronik yang bertugas di Kelantan sekarang dan sejauh mana kehebatan Persatuan Wartawan yang mempersatukan para wartawan di Kelantan pada waktu ini. Apakah para petugas tidak merasa terhina dan keprofesionalan mereka dicabuli apabila kalangan yang bukan pakar dalam bidang berkaitan mencampuri bidang yang bukan bidang mereka.
Masa saya dulu tidak ramai waratawan lulusan 'U' tetapi sekarang rata-rata sudah berijazah, paling koman pun berdiploma dan mengaji khusus dalam bidang berkaitan. Tetapi dulu kalau seorang wartawan dihina, kami akan boikot penghina. Polis Kelantan misalnya pernah dipulau oleh wartawan bertahun lamanya.
Bila berlaku kes kemalangan atau apa-apa kes yang sepatutnya polis yang jadi sumber berita, para pengamal media eletronik atau media cetak tidak dihubungi, sebaliknya dicari sumber lain. Akhirnya Ketua Polis Kelantan yang dipulau itu ditukarkan dan yang baru telah memangil pihak media untuk damai.
Pernah berlaku kes di Maktab Sultan Ismail. Puak-puak press tidak mahu menikmati jamuan atas alasan kita datang untuk bertugas bukan untuk makan. Macam mana ada pihak yang beriya-iya mahu kami ikut sama menikmati juadah bersama Menteri Pelajaran pada waktu itu. Tetapi bila kami masuk, tidak ada tempat duduk untuk beberapa orang di antara kami, malah ada rungutan kata wartawan menyibuk. Kami semua angkat kaki.
Selesai makan menteri nak jumpa press. Marahnya menteri bila mendapat tahu semua press dah cabut. Padahnya pegawai akhbar kepada menteri berkenaan terpaksa jajat dari satu pejabat ke pejabat suratkhabar, minta supaya ucapan menterinya disiarkan. Tetapi kita semua nekad untuk tidak menulis apa-apa mengenai event yang dihadiri menteri berkenaan.
Apakah pengamal media sekarang akan lupakan soal cubit paha kiri paha kanan pun turut sama rasa sakit dalam menghadapi kes larangan Utusan buat laporan sidang DUN Kelantan. Sama-samalah kita tunggu dan lihat. Sebenarnya tanpa laporan sidang dewan pun masih banyak bahan boleh dilaporkan dan halaman akhbar tidak akan kosong tanpa bahan, demikian juga dengan kaca tv dan corong radio.
Kenapa Utusan dilarang?. Kononnya kerana Utusan sering lapor laporan yang tidak tepat. Apakah laporan di bawah yang berlaku di negeri yang diperintah oleh kerajaan yang berretorikkan Membangun Bersama Islam ini laporan bohong. Orang Tumpat, khususnya orang Wakaf Bharu patut tampil mengesah atau menolaknya:
Bapa dan anak mengaku salah
Si bapa, 45, dan anaknya, 25, ditahan oleh sekumpulan pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) pada pukul 1.30 pagi ini di sebuah rumah di Wakaf Bharu, Tumpat.
Kedua-duanya juga mengaku melakukan kesalahan itu sejak 2004 sehingga mendapat tiga anak iaitu dua lelaki masing-masing berusia enam dan lima tahun serta seorang perempuan berusia tiga tahun.
Hakim Syarie, Abu Bakar Abdullah Kutty menjatuhkan hukuman denda RM2,500 dan penjara setahun enam bulan ke atas si bapa manakala anaknya didenda RM2,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayarnya.
"Kamu (bapa) kata hendak jaga anak-anak kamu yang masih kecil? Sepatutnya, kamu kena jaga dia (anak) dulu sebelum jaga anak-anak yang di bawahnya. Tapi kamu sudah gagal sebagai bapa untuk menjaga dia.
"Sebagai anak pula, kamu sepatutnya mengawal diri. Walaupun dia bapa kamu, kamu sepatutnya mengambil tindakan jika bapa kamu melakukan perlakuan seperti itu misalnya dengan keluar dari rumah atau beritahu ibu kamu. Kamu juga telah gagal," katanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pendakwa Syarie Kanan, Zaini Sulaiman.
Menurut fakta kes, bertindak atas maklumat awam, pihak penguat kuasa JHEAIK membuat pemeriksaan di sebuah rumah di Tumpat dan mendapati pintu rumah tertutup rapat dan berkunci.
Menurut fakta, pintu rumah itu kemudiannya dibuka oleh seorang lelaki.
Penguasa kemudian menuju ke sebuah bilik dan mendapati di dalamnya terdapat seorang lelaki berseluar pendek serta berbaju dan seorang perempuan yang sedang tidur berseluar panjang dan berbaju.
Hasil soal siasat mendapati kedua-duanya ialah pasangan bapa dan anak perempuan.
Sementara itu, si anak yang merupakan anak kedua bapanya dengan isteri pertamanya berharap tidak dikenakan hukuman penjara kerana mahu menjaga dua anaknya.
Dia yang mendapat pendidikan sehingga tingkatan enam bawah memberitahu seorang lagi anaknya dipelihara oleh keluarga angkat.
Bayangkan kalau kes seumpama ini berlaku di negeri yang diperintah oleh orang Umno. Pasti ianya akan jadi bahan syarahan para penceramah Pas. Saya dimaklumkan (harap tidak benar) pasangan anak beranak yang dapat anak dan cucu serta anak dan adik itu adalah orang Pas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan