Nilai-nilai kesepakatan ummah dalam ibadah sembahyang
ISLAM adalah agama yang mempersepakat, memperpadu, mempersaudara-mara dan mensedarah-sedenyut-nadikan ummah selain dari bermatlamatkan mensyurgakan hamba-Nya dengan diberi formula, petunjuk dan jalan melalui Pesuruh-Nya untuk mendapat hasanah di dunia dan akhirat. Hanya kalangan yang 'keras pdal' dalam menerima tawaran syurga sahaja akan dicampakkan ke neraka kerana itulah pilihan dan kehendaknya.
Unsur-unsur kesepakatan, keperpaduanan, kepersaudara-maraan dan kesedarah-sedenyut-nadian dalam Islam itu boleh disilau-kelih sama ada dengan meneliti Rukun Iman atau Rukun Islam yang menuntut keseragaman ummah dalam mengimaninya tanpa mengira bangsa, bahasa pertuturan, batas sempadan negeri, adat resam, budaya, kaya atau miskin serta sempadan masa. Yang menjadi rukun semasa hayat Rasulullah s.a.w.ianya kekal menjadi hukum sampai kiamat.
Mempercayai Allah sebagai rukun nombor wahid dalam pembentukkan, pembinaan dan pembangunan iman kena seragam yakni kena
mempercayai Allah yang satu, bukannya Allah bagi orang Melayu Islam lain, bagi orang Arab Islam dan sebagainya lain pula. Mempercayai selain dari Allah yang satu maka dengan sendiri akan rosaklah iman, punahlah keislaman seseorang.
Semua bangsa beragama Islam juga wajib percayakan malaikat yang sama, qada' dan qadar yang sama, hari qiamat yang sama , rasul yang sama yakni Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. dan kitab yang sama yakni al-Quran nul-Karim. Kitab Zabur, Taurat dan Injil hanya untuk umat nabi Daud (Injil), Nabi Musa (Taurat) dan Isa (Injil). Umat Islam tidak boleh bernabikan nabi lain dengan membelakangi Nabi Muhammad s.a.w. sebagai umat baginda.
Umat Islam tanpa mengira warna kulit, bangsa, bahasa pertuturan, sempadan negara serta darjat kena menggunakan lafaz syahadah yang sama, sembahyang dengan rukun perbuatan, bacaan dan menghadap kiblat yang sama, kena sama-sama wajib berpuasa sebulan pada bulan Ramadan, kena bayar zakat berdasarkan hukum yang sama dan kena menunaikan fardu haji pada tempat berkumpul yang sama dan kena hanya tawaf Ka'abah yang satu.
Dengan itu nampak dengan jelas bahawa Islam menuntut, menganjur, mendorong, merangka dan mengkerangkakan kesepakatan, kerperpaduanan, epersaudara-maraan dan kepersederaha-sedenyut-nadian ummah. Justeru adalah amat songsang jika ada apa jua tindakan, teori, praktikalisme, seruan dan saranan, termasuk kerana kepentingan politik kepartian, diusahakan secara langsung dan tidak langsung bibit-bibit perpecahan, perbalahan, perseteruan dan ketidak-sepakatan ummah semata-mata kerana tidak sealiran fahaman dan pendekatan dalam berpolitik.
Melalui tulisan kerdil ini, penulis mahu mengajak diri sendiri dan para pembaca melihat, merenungi, menyelami dan menghayati bahawa sembahyang yang merupakan Rukun Islam yang kedua mempunyai nilai-nilai kesepakatan yang mantap, kukuh, unggul dan utuh lagi teguh serta terserlah tuntutan mentaati pemimpin dan kepemimpinan.
Bila melihat dari sisi tersebut, maka adalah tidak pelik kenapa sembahyang secara berjemaah dituntut dengan jumlah pahalanya meningkat kepada 26 kali lebih banyak dari sembahyang bersendirian bagi sembahyang fardu yang hanya diberi satu pahala sedangkan sembahyang berjemaah yang kena ada imam dan makmum diberi pahala sebanyak 27 dengan afdalnya berjemaah di masjid.
Isteri dan anak-anak perempuan kepada suami dan bapa yang berjemaah turut mendapat jumlah pahala yang sama kerana menyediakan segala kemudahan kepada suami atau bapa ke masjid, surat ata madrasah untuk berjemaah walaupun mereka tidak ikut berjemaah hanya sembahyang sendirian di rumah.
Celaka yang amat sangatlah bagi isteri dan anak-anak yang mengajak suami atau bapa ke pasaraya atau tempat-tempat berhibur dan berlibur sehingga suami atau bapa terlepas peluang sembahyang fardu berjemaah.
Sesungguhnya sembahyang berjemaah bukan sahaja sarat dengan unsur-unsur perpaduan dan kesepakatan ummah teapi ianya juga ada unsur-unsur ketaatan kepada pemimpin kerana keperluan dalam kehidupan ini kena ada pemimpin dan yang dipimpin serta displin kepatuhan dan ketaatan kepada pemimpin manakala yang dipimpin berhak pula menegur pemimpin.
Di samping itu seluruh umat Islam tanpa mengira bangsa, pangkat dan darjat kena sembahyang ikut rakaat yang telah ditetapkan yakni empat rakaat bagi Zohor, 'Asar dan Insyak, tiga rakaat bagi Maghrib dan dua rakaat bagi Subuh. Mana-mana bangsa pun tidak boleh sembahyang Zohor, 'Asar dan Isyak tiga rakaat, Maghrib empat rakaat, Subuh empat atau tiga rakaat di samping semuanya kena sembahyang dalam waktu.
Antara syarat berjemaah pula bukan sahaja saf kena lurus tetapi makmun kena duduk dalam keadaan rapat dengan bahu kanan seseorang makmun kena bersentuhan bahu kirinya bahu kanan makmun di sebelah. Juga anak jari kaki makmun sebelah kanan kena bersentuhan dengan anak jari kaki kanan makmun sebelah kiri.
Makmun tidak boleh duduk dalam keadaan renggang, malah kalau nampak kelompangan di saf depan umpamanya, makmun yang sedang dalam sembahyang pun kena melangkah masuk menutup kelompangan itu dengan syarat jangan menjangkah lebih dari tiga langkah berturut-turut bagi tujuan itu.
Dalam pada itu makmum juga kena mengaminkan doa secara serentak. Selain dari dituntut mengaminkan bacaan al-Fatihah imam secara serentak, adalah lebih afdal jika ruku', i'tidal, sujud, duduk antara dua sujud dan memberi salam secara serentak di kalangan makmum kecualli bagi makmum yang masuk barisan jemaah ketika imam dan selesaikan satu raakat atau lebih.
Makmun boleh tidak habiskan bacaan al-fatiah walaupun ianya bacaan wajib apabila imam ruku' dengan turut sama ruku'. Hilang afdal jika senggang terlalu jauh dengan perbuatan iman, malah dilarang melambat-lambat tuntutan mengikut imam sehingga melangkaui satu perbuatan. Misalnya tidak boleh makmum terus belum ruku' sedangkan iman sudah pun sujud.
Dalam sembahyang juga menampakkan keperluan taat kepada pemimpin yang mana pemimpin dalam sembahyang adalah imam. Makmum kena ikut apa yang imam buat. Selain dilarang makmum menjarakkan perbauatan dengan imam, mamkum juga tidak boleh mendahului iman seperti qiam, takbirotul-ihram, ruku', i'tidal, sujud dan memberi salam menamatkan sembahyang.
Pun begitu dalam kevetoan imam yang memimpin jemaah, makmum tetap dibolehkan, malah dituntut membuat teguran sekiranya imam melakukan kesalahan sama ada dalam bentuk bacaan atau rukun perbuatan dengan menyebut 'subahanallah' atau menepuk tangan tidak lebih dari tiga kali berturut-turut oleh makmum perempuan. Kalau imam tidak hiraukan juga teguran, bermakan imam jahil dan makmum kena mufarakah. Pelik dan songsanglah kalau di luar sembahyang, ada pemimpin yang melenting dan tidak boleh ditegur bila melakukan kesalahan.
Seperkara lagi yang rasa perlu dicatatkan bahawa makmum juga digalakkan supaya bertakbirotul-ihram sebaik sahaja imam selesai melakukannya yang mana sama ada imam atau , masing-masingkena kena baca doa iftitah dan bacaan-bacaan lain sama ada yang wajib atau sunat menggunakan bahasa yang sama.
Tidak boleh orang Melayu Islam membaca al-Fatihah dalam bentuk terjemahan bahasa Melayu, orang Inggeris Islam baca dalam bahasa Inggeri, orang German Islam baca dalam bahasa German, orang Islam Cina baca dalam Cina, orang India Islam baca dalam bahasa Tamil atau Urdu dan sebagainya.
Demikianlah jika rajin diselami dan dihayati falsafah, tujuan, hikmah disebalik ibah sembahhyang, ianya syarat dengan unsur-unsur mempersepakat, memperpadu, mempersaudara-mara dan mensedarah-sedenyut-nadikan ummah selain dari bermatlamatkan mentaati perintah-NYA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan