Jumaat, 14 Oktober 2011

PULIH KEMBALI (22/2011) - tulisan ini turut dihantar ke sebuah majalah terkemuka untuk pertimbangan siaran


Pas tidak cukup keupayaan mencipta Hudud

SETELAH sekian lama tidak diperisukan, Hukum Hudud kini kembali menjadi perhatian dan percakapan umum apabila Mursyidul Am Pas, Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan menegaskan Hukum Hudud tetap menjadi keutamaan pelaksanaannya jika Kerajaan Umno/BN berjaya ditumbangkan.
Ianya sudah terang lagi berseluruh bercanggah dengan keputusan terbaru yang dibuat oleh parti itu untuk mewujudkan negara berkebajikan, bukannya negara Islam seperti yang diperjuangkan sebelumnya yang menyebabkan parti itu yang menghadapi ancaman sokongan kerana berkerjasama dengan DAP tambah menghadapi krisis sokongan yang meruncing dan kronik dengan keputusan terbaru parti itu.
Penegasan Nik Aziz itu yang sanggup kehilangan rakan dalam Pakatan Rakyat (PR) dipercayai bermatlamat mahu membaik-pulih imej Pas pada mata pendukung dan penyokong telah mendapat tentangan dari Karpal Singh yang merupakan tokoh hebat DAP yang pernah menegaskan supaya dilangkah mayatnya terlebih dulu jika mahu mewujudkan pemerintahan secara Islam di negara ini, termasuk jika Hukum Hudud mahu dilaksanakan.
Bagaimanapun barangkali berpuluh juta rakyat Malaysia ‘terkejut beruk’ apabila  tidak lama dulu ada tokoh Pas yang bertaraf arkitek Pas Kelantan mahu mayatnya dilangkah terlebih dulu sebelum Karpal Singh mahu diapa-apakan. Sebagaimana ulangtayang mengenai Hudud, penegasan tokoh Pas itu secara tersiratnya adalah bertujuan mencari faedah dan laba politik kepartian.
Tidak hairanlah apabila percanggahan pendirian Nik Aziz (Pas) dengan rakan sepakatan dalam PR yakni Karpal Singh (DAP), telah cuba diambil kesempatan untuk menangguk dan menahan lukah di air keruh oleh pelbagai pihak, terutama Umno sebagai seteru Pas.
Mengeksploitasi dan memanipulasi isu-isu yang boleh menjejas imej dan reputasi lawan adalah antara rukun dan sifir dalam politik kepartian sebagai usahawa, ikhtiar dan strategi untuk mempengaruhi orang ramai supaya menerima parti yang didukung dan disokong adalah yang terbaik manakala parti lawan adalah yang terburuk.
Kerana itulah tanpa mengadvancekan pandangan tentang kemungkinan kesan buruk akan melantun kepada Umno dan tanpa merujuk kepada al-Quran dan Hadis, isu Hukum Hudud cuba diekspoloitasi dan dimanipulasi sebagai sebahagian dari senjata untuk mengurangkan sokongan terhadap Pas khususnya dan juga kepada PR amnya.
Maka Hukum Hudud pun dikaitkan dengan Pas, malah yang lebih jahil atau sengaja menjahilkan diri melabelkan Hukum Hudud sebagai ‘Hudud Pas’. Persoalannya bijak sangatkah Pas untuk mencipta Hukum Hudud?
Penulis berani katakan seandainya Pas berani mendabik dada mengatakan Hukum Hudud adalah miliknya atau hasil ciptaannya, maka ianya boleh membawa kepada amat berdosa kerana secara tidak langsung Pas cuba memindah-milikkan ciptaan Allah, sekali gus seakan menganggap parti itu lebih bijak dari Allah.
Tetapi seandainya apa yang didrafkan adalah dicedok dari al-Quran dan Hadis, bukan sahaja Pas tidak layak mengaku Hukum Hudud adalah ciptaannya tetapi mana-mana pihak tidak boleh melabelkannya sebagai ‘Hudud Pas’ kerana ia boleh membawa kepada berdosa dan kecacatan akidah.
Sebaliknya Pas dilihat cuba berhasrat menyempurnakan tuntutan fardu kifayah dan yang menentangnya secara tidak langsung adalah menentang usaha murni pihak yang mahu mengelakkan umat Islam di negara ini dari menanggung dosa kerana tidak ada yang menyempurnakan fardu kifayah berkaitan dengan pelaksaan Hukum Hudud.
Soal ada keupayaan atau tidak dan telah bersedia atau tidak bagi melaksanakan Hukum Hudud di negara ini tidak boleh dialasankan dengan ‘kerana’ dan ‘sebab’ Hukum Hudud disuara dan dituntut pelaksanaannya oleh Pas semata-mata kerana yang mendraf pelaksanaannya adalah Pas, lantas ianya dilabelkan sebagai ‘Hudud Pas’, antara faktornya kerana mahu menyekat sokongan terhadap parti itu.
Mudah atau payah setiap hukum Allah kena dilaksanakan mengikut kadar kemampuan sebagaimana tuntutan sembahyang ke atas setiap mukalaf yang siuman dan tidak dalam keadaan haid atau nifas bagi perempuan. Adalah diharamkan bagiperempuan yang haid dan nifas sembahyang.
Yang tidak mampu berdiri kena sembahyang sambil duduk, yang tidak mampu duduk kena sembahyang sambil baring manakala yang tidak mampu menggerakan anggotanya tetapi tidak koma, kena sembahyang melalui isyarat mata. Sembahyang dalam keadaan yang tidak cukup sihat menyusahkan tetapi tutntutan wajib sembahyang tetap tidak dikecualikan selagi akal dalam keadaan sempurna.
Kerana jahil dan sengaja menjahilkan diri, ramai di kalangan umat Islam di negara ini berhenti dari menunaikan fardu sembahayang apabila dalam keadaan sakit, seolah-olah masa sakit adalah tempoh bercuti dari menunaikan sembahyang fardu sedangkan dalam keadaan sakit itulah kena sembahyang dengan lebih tawadhu’ kerana sakit bermakna menghampiri kematian.
Demikianlah betapa beratnya tuntutan menunaikan titah perintah Allah: payah atau mudah kena dilaksanakan sekadar keupayaan. Pun begitu dengan Hukum Hudud, usaha-usaha ke arah pelaksanaannya adalah fardu kifayah yang mana kalau tidak ada usaha oleh mana-mana pihak atau individu untuk melaksanakannya, maka seluruh umat Islam di negara ini akan berdosa,
Justeru itu bila ada pihak yang cuba mahu melaksanakannya, maka ianya kena disokong dan menentangnya atas alasan apa sekali pun, termasuk kerana kepentingan politik kepartian, maka hukumnya tentulah haram dan berdosa seandainya Hukum Hudud itu memang dicedok dari al-Quran dan Hadis
Kalau apa yang dikatakan draf Hukum Hudud itu sengaja dicipta dan bercangah dengan apa yang ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya, selain dari menyokong pelaksanaannya adalah berdosa, pihak yang membuat dan bersekongkol dalam penghasilan draf itu lebih berdosa lagi.
Tidak payah sebenarnya untuk memastikan draf Hudud yang kononnya  ‘Hudud Pas’ itu sama ada ianya selari dengan Hukum Hudud sejati atau ianya bercanggah dengan Hukum Hudud sebenar. Caranya adalah dengan menyemak al-Quran dan Hadis.
Ertinya sebelum membuat sebarang pelabelan terhadap draf Hudud, ianya hendaklah dibaca dan diteliti dengan ilmu dan dipastikan betul-btul faham. Jangan sekali-kali membuat penentangan semata-mata kerana kepentingan politik kepartian sedangkan draf yang dikatakan ‘Hudud Pas’ itu jangankan dibaca dan dibandingkan dengan apa yang terkandung dalam al-Quran dan Hadis. melihatnya pun tidak pernah.
Soal Hukum Hudud pada dasarnya umat Islam tidak boleh menentang atau memberi pandangan dan kritikan sembarangan sebagaimana penentangan dan pandangan Karpal Singh kerana ianya diperintah oleh Allah dan Rasul-Nya bagi pelaksanaannya.
Hanya kalangan yang pakar tentangnya sahaja boleh memberi pandangan dengan menambah mana-mana yang kurang dan membuang mana yang berlebihan setelah dirujuk kepada apa yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Apa pun perintah Allah dan Rasul-Nya adalah adil dan saksama. Itu yang wajib dipercayai dan diyakini.
Menentang hasrat pelaksanaan Hukum Hudud dengan apa tujuan dan maksud sekali pun, apatah lagi jika demi kepentingan politik kepartian adalah berdosa, malah membuat pelabelan dengan maksud supaya orang awam memandang lekeh atau menganggap Hudud bukan hukum Allah, maka penentangan itu amat berdosa.
Jika apa yang didrafkan tidak selari dengan Hukum Hudud sejati, maka fardu kifayah kepada mereka yang pakar membetulkan ketidak-selarian itu dan kena kekalkan bagi yang telah selari.
Percayalah Pas tidak ada kemampuan untuk mencipta Hudud, sebaliknya penulis yakin draf yang disediakan adalah dicedok dari al-Quran dan Hadis. Pasti dalam menyediakan draf, ayat al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a,w. sebagaimana berikut dirujuk dan dicedok:
“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina hendaklah kamu dera masing-masing dengan 100 rotan dan janganlah kamu berasa kasihan belas terhadap keduanya dalam melaksanakan perintah Allah jika kamu beriman kepada Allah dan pada hari kemudian. Hendaklah hadir ketika dijatuhkan hukumun terhadap mereka sekumpulan dikalangan orang-orang yang beriman” - An-Nur:2
"Dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hokum Allah maka mereka itulah orang-orang yang zalim" - Al-Baqarah:229.
“Tidak halal darah orang-orang Islam kecuali berlakunya salah satu daripada tiga perkara iaitu orang yang telah berkahwin berzina, orang yang membunuh dengan sengaja dan keluar daripada agamanya juga berpecah daripada jamaah orang-orang Islam” Hadis riwayat Imam Muslim dan Bukhari daripada Ibnu Ma’ud.
“Demi Tuhan yang menciptakan diriku, walaupun sekiranya Fatimah bt Muhammad mencuri Sesungguhnya aku akan potong tanganya” Hadis riwayat Ahmad dan Ashab Al-Kutub as-Sittah daripada Aisyah radhiallahu-anha
Kesalahan yang wajib dikenakan hukuman hudud ialah:
  Berzina - iaitu melakukan persetubuhan tanpa nikah yang sah mengikut hukum syara'.
  Menuduh orang berzina (qazaf), iaitu membuat tuduhan zina ke atas orang yang baik lagi suci atau menafikan keturunannya dan tuduhannya tidak dapat dibuktikan dengan empat orang saksi.
  Minum arak - minuman yang memabukkan sama ada sedikit atau banyak, mabuk ataupun tidak.
  Mencuri - iaitu memindahkan secara sembunyi harta alih dari jagaan atau milik tuannya tanpa persetujuan tuannya dengan niat untuk menghilangkan harta itu dari jagaan atau milik tuannya.
  Murtad - iaitu orang yang keluar dari agama Islam, sama ada dengan perbuatan atau dengan perkataan, atau dengan i`tiqad kepercayaan.
  Merompak (hirabah), iaitu keluar seorang atau sekumpulan yang bertujuan untuk mengambil harta atau membunuh atau menakutkan dengan cara kekerasan.
  Penderhaka  (bughat), iaitu segolongan umat Islam yang melawan atau menderhaka kepada pemerintah (Daulah Islamiyah) yang menjalankan syariat Islam dan hukum-hukum Islam.
Berdasarkan ayat al-Quran dan Hadis berkaitan serta catatan jenis-jenis kesalahan yang wajib dihukum dengan hukuman Hudud,  maka bolehlah dibuat kesimpulan sendiri (lebih elok dirujuk kepada mereka yang pakar) sama ada penentangan terhadap draf Hudud yang dilakukan oleh penentang berpahala atau berdosa.
Jika didapati berdosa, maka segeralah bertaubat nasuha kerana Allah Maha Pengampun, lebih-lebih lagi jika dosa dibuat dalam keadaan tidak tahu ianya berdosa. Yang penting kena dipastikan hokum hakam jangan dipermainkan, termasuk bagi tujuan kepentingan politik kepartian. – Penulis adalah lepasan sekolah agama dan pengamal media sejak tahun 1973, masih giat menulis di pelbagai akhbar dan majalah hingga kini.

Nama & alamat penuh penulis;
RAMLI AB. HALIM (K/P:561020-03-5201)
A/C Giro: 0310629835240253
2584, Lot 146, Jalan Sultanah Zainab,
15000 Kota Bharu,
Kelantan.
Email: meli_industry@yahoo.co.uk.


           
           

Tiada ulasan:

Catat Ulasan