Jumaat, 14 Oktober 2011

PULIH KEMBALI (23/2011) - tulisan ini turut dihantar ke sebuah majalah terkemuka untuk pertimbangan siaran


Ego punca sesetengah nasionalis dilabel sebagai komunis
oleh
RAMLI ABDUL HALIM

MUNGKIN penulis sama ada atas nama pengamal media mahu pun atas nama rakyat Malaysia dan atas nama individu barangkali tersenarai sebagai antara manusia Melayu yang bernasib baik kerana sempat bertemu dengan tokoh-tokoh penting anggota Melayu Parti Komunis Malaya (PKM) ketika mereka masih hidup dan dapat bertanya tentang perjuangan mereka secara langsung.
            Antaranya Haji Che Dat Anjang Aki@Abdullah CD (masih hidup). Beliau adalah seorang wartawan (bekerja dengan Pelita Malaya) dan merupakan Pengerusi PKM menggantikan Musa Ahmad yang telah menyerah diri kepada pihak berkuasa dan Abdullah CD masih menjawat jawatan itu hingga kini.
            Penulis juga sempat menemui Hajah Suriani Abdullah@Eng Meng (masih hidup). Beliau adalah Jawatankuasa Kerja Pusat PKM dan merupakan isteri Abdullah CD. Beliau menyambung perjuangan menentang penjajahan Jepun dan pernah dipenjarakan semasa Jepun berkuasa di Tanah Melayu.
            Haji Rashid Maidin yang merupakan orang Melayu pertama menyertai PKM bersama isterimya Hajah Selamah Abdullah (Cina Muslim) dan Haji Abu Samah Mohd. Kassim juga ditemui. Abu Samah adalah seorang pemidato hebat, keturunan Dato' Bahaman, pernah bertugas sebagai askar Melayu di Kem Pengkalan Chepa Kelantan.
            Abu Samah juga merupakan panglima perang terbilang Rejimen Kesepuluh PKM yang keseluruhan anggotanya adalah berbangsa Melayu beragama Islam dan aktif dalam Umno sebelum menyertai perjuangan bersenjata PKM, pernah menjawat jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Temerloh. Rashid Maidin dan isteri  serta Abu Samah sudah meninggal.
            Penulis sempat menemui Abdullah CD, Suriani, Rashid Maidin dan Abu Samah lebih dari sekali dan berkesempatan bercakap tentang kisah hidup mereka. Bagaimanapun isteri Abu Samah, Hajah Norkiah Mahmud Baginda yang bersaudara dengan Mukhtar Mahmud Baginda yang merupakan pegawai akhbar kepada Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menjadi Menteri Besar Pahang tidak pernah ditemui.
            Kunjungan pertama penulis ke penempatan bekas anggota Melayu PKM di Chulabhorn Pattana 12, Sukhirin, Weng, Selatan Thai adalah ketika Abdullah CD, Suriani dan Abu Samah serta isteri baru pulang dari mengerjakan ibadah Haji di Mekkah yang dibiayai oleh Kerajaan Malaysia. Rashid Maidin yang ke Mekah bersama isteri ditemui beberapa bulan kemudian kerana beliau tinggal di Perkampung Malaysia, Yala yang merupakan sebuah lagi kawasan penempatan bekas anggota Melayu PKM.
            Keseluruhan anggota Melayu PKM yakni anggota Rejimen Kesepuluh atau Tentera Pembebasan Malaya yang sekolah latihannya di Temerloh pada keseluruhannya terdiri daripada orang Melayu bergama Islam, antaranya imam, bilal, siak, ustaz, ustazah dan guru di samping para pemuda dan pemudi.
            Rejimen Kesepuluh PKM yang diasaskan oleh Abdullah dan Rashid Maidin serta rakan-rakan yang lain dilahirkan di Temerloh dan merupakan cabang yang disegani  dalam PKM kerana mencipta kejayaan-kejayaan besar dan luar iasa dalam perjuangan, termasuk dalam pertempuran yang membabitkan jumlah lawan yang lebih besar dan pemilikan senjata yang lebih lengkap.
            Mereka masuk ke hutan dan memilih perjuangan bersenjata kerana enggan dipenjarakan oleh penjaja, sesetengahnya seperti Abdullah CD dan Rashid Maidin masuk ke hutan selepas berjaya meloloskan diri dari tahanan penjajah. Matlamatnya adalah mahu menghalau penjajah dan memerdekakan negara.
            Seandainya mereka meninggalkan perjuangan senjata apabila negara diisytiharkan merdeka, pasti mereka akan dilihat sebagai wira serta  nasionalis dan tidak akan dilabel sebagai komunis.
Tetapi kerana tidak bersetuju dengan syarat yang dikenakan oleh penjajah supaya mereka dilabel sebagai anasir subversif dan diminta menyerah diri  untuk dipenjarakan, maka perjuangan bersenjata diteruskan. Kerananya mereka dilabel sebagai komunis.
            Sebenarnya (berdasarkan kepada perbualan dengan Abdullah CD, Rashid Maidin dan Abu Samah) pada setiap 31 Ogos, anggota PKM, terutama anggota  berbangsa Melayu turut merayakan hari kemerdekaan dan mereka juga merayakan Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji.
            Pemimpin utama anggota Melayu PKM enggan pulang ke tanahair selepas Perjanjian Damai PKM - Kerajaan Malaysia - Kerajaan Diraja Thai pada 2 Disember 1989  atas alasan mereka disuruh menandatangani kertas kosong tanda menyerah diri sedangkan bagi mereka tidak ada sebab untuk menyerah diri kerana mereka bukan musuh kepada agama, bangsa dan negara tetapi mereka adalah musuh kepada penjajah.
            Bagi mereka,  yang patut dipenjarakan adalah penjajah atas kesalahan menjajah dan memunggah balik hasil kekayaan negara sedangkan mereka telah mempertaruhkan darah dan nyawa untuk menghalau penjajahan dan memerdekakan negara, tidak adil kalau mereka dipenjara dikeranakan mereka berjuang untuk kepentingan agama, bangsa dan negara.
            Secara peribadi penulis nampak anggota Melayu PKM terlalu ego dengan prinsip mereka dan kerana itu mereka dilabel sebagai komunis walaupun anak bangsa tahu tidak ramai yang sanggup menjalani hidup sukar di hutan dan memperjudikan nyawa di hujung senjata atas nama perjuangan dan pengorbanan serta prinsip mereka yang sangat mulia.
            Walhal kalau pun mereka letak senjata bila negara merdeka dan menyerah diri kepada kerajaan, hukuman penjara bukannya lama kerana selepas penjajah 'nyah' dari bumi bertuah ini, maka kuasa untuk memendekkan tempoh tahanan adalah kuasa kerajaan yang berketuakan seorang Melayu.
            Alasan yang mereka berikan kenapa tidak balik ke Malaysia selepas perjanjian damai ditandatangani adalah munasabah kerana bumi yang mereka pijak dan langit yang mereka junjung adalah juga bumi warisan Melayu.
Yang pasti mereka sering balik mengunjungi sanak saudara, malah mereka juga sering dikunjungi oleh sanak saudara secara terbuka selepas perjanjian damai ditandangani.
            Apa pun setiap orang ada prinsip. Demikian juga dengan anggita Mekayu PKM dan prinsip mereka patut dihormati. Sewaktu mengunjungi mereka beberapa kali dan sepanjang pebualan penulis dengan Abdullah CD, arwah Rashid Maidin dan arwah Abu Samah yang mendakwa tidak menyebelahi mana-mana parti politik di Malaysia tetapi sentiasa mengikuti perkembangannya, bagi mereka Umno/BN lebih sesuai sebagai sebuah parti politik yang patut diberi mandat memerintah berbanding dengan Pas atau DAP atau PKR. – Penulis adalah pengamal media sejak tahun 1973 dan masih giat menulis di pelbagai akhbar dan majalah hingga kini.

Nama & alamat penuh penulis;
RAMLI AB. HALIM (K/P:561020-03-5201)
A/C Giro: 0310629835240253
2584, Lot 146, Jalan Sultanah Zainab,
15000 Kota Bharu,
Kelantan.
Email: meli_industry@yahoo.co.uk.

           
           

Tiada ulasan:

Catat Ulasan