Khamis, 9 Februari 2012

PELIH KEMBALI (05/2012)

Kesan sampingan kepada buru, tangkap dan hantar pulang PATI

JUMLAH rakyat asing yang berada di negara ini bukan kecil bilangannya. Berdasarkan kepada perangkaan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hisammuddin Tun Hussein, seramai 2,320,034 orang pekerja asing dan pendatang asing tanpa izin (PATI) telah mendaftar untuk Program 6P setelah berakhirnya proses pendaftaran melalui sistem biometrik pada 31 Ogos 2011.
Sehingga rencana ini ditulis, penulis dimaklumkan bahawa  proses pendaftaran melalui sistem biometrik dilanjutkan sehingga10 Januari 2012,  ada yang memaklumatkan kata akan dibuka kembali pada 2 Febuari 2012, malah  majikan  yang  memerlukan  tenaga kerja rakyat asing boleh melakukan pendaftaran pada sepanjang masa.
Bersandarkan kepada fakta Hishammuddin, daripada 2,320.034 yang didaftar secara proses melalui sistem biometrik, hanya 1,016,908 adalah pekerja asing yang sah manakala 1,303,126 lagi adalah PATI, maka ternyata jumlah PATI melebih jumlah rakyat asing yang sah.
Dalam pada itu berpaksikan maklumat rambang yang dimaklumatkan kepada penulis jumlah PATI di negara ini sekitar 4 juta orang, maka jumlah PATI yang belum berdaftar adalah sekitar 3 juta lagi.  Itu adalah hakikat.
Sebagai warganegara yang sangat mencintai negara bertuah ini, penulis bersetuju dengan Hishammudin bahawa angkat jumlah rakyat asing di negara ini sangat besar kerana menurut kata Hishammuddin,  jumlah itu tidak termasuk  pelarian serta PATI di Sabah dan Sarawak serta pembantu rumah.
Penulis juga bersetuju dengan Hishammudin bahawa seandainya tidak ambil tindakan, sekiranya tidak melakukan proses 6P, maka masalah ini akan lebih berat pada masa akan datang kerana negara mungkin terbabit dalam memberi perlindungan kepada penjenayah atau pengganas.
 Itu jika dilihat  limpahan PATI dari sudut negatif tetapi pada masa yang sama dilihat dari sudut positifnya, kalaulah  tanpa tenaga kerja asing di negara ini, hakikat dan natijahnya  banyak sektor akan terjejas, terutama sektor perladangan.
Seandainya tanpa tenaga pekerja rakyat asing, terutama dari Lombok, Indonesia: sektor perladangan sawit yang tahun ini sahaja dikatakan memberi hasil sebanyak RM85 bilion (RM85,000 juta) kepada negara mahu tidak mahu akan terbantut.
Ini adalah  kerana bukan sahaja tenaga tempatan atau tenaga asing bukan dari Indonesia tidak ada keupayaan dan kemahiran mengait sawit pada ketinggian 40 hingga 50 kaki tetapi orang Indonesia bukan Lombok pun tidak mampu dan  tidak memiliki kemahiran untuk itu.
Secara kebetulan pula, pokok-pokok sawit yang tinggi adalah dalam kawasan Felcra Berhad  yang mana pihak Felcra Berhad  pula menguruskannya secara mini estet kebun-kebun milik pekebun kecil.
Buah dari pokok yang tinggi dikatakan lebih berkualiti. Sukar untuk dipastikan daripada 640,609 PATI atau daripada 405,312 rakyat Indonesia yang  berada di negara ini secara sah, berapa ramai daripadanya orang Lombok berada di negara ini sama ada secara sah atau sebaliknya.
Berpaksikan pengalaman yang masih rebung dalam bidang kontraktor kait sawit dan telah mencuba mengguna khidmat lelaki tempatan yang menyebabkan syarikat penulis kerugian berpuluh ribu ringgit di samping penggunaan tenaga dari Nepal, Bangla dan Myammar yang menyebabkan syarikat terpaksa menganggung rugi, hanya lelaki Lombok sahaja yang paling mampu dan paling berkemahiran dalam kerja-kerja kait dan prunning sawit pokok tinggi.
Demi memastikan industri sawit, terutama pengeluaran sawit dari pokok tinggi yang rata-rata di kawasan Felcra Berhad tidak terjejas dan tidak akan terbantut, maka sukacita penulis menyarankan supaya lelaki Lombok diberi sedikit kelonggaran bagi memutihkan mereka sekiranya mereka berada dalam keadaan hitam.
Penulis diberi maklumat, untuk datang ke Malaysia kerana dijanjikan kerja dengan gaji lumayan, kos tambang menambangnya sahaja mereka kena membelanjakan RM3,000. Jumlah sebanyak itu bagi jumlah di negara mereka adalah sangat besar.
Mereka juga terpaksa men yediakan wang untuk buat kos passport dan bayar upah kepada agen. Mahu tidak mahu ada yang terpaksa jual tanah, jual lembu manakala yang tidak ada tanah atau lembu kena buat pinjaman dan terpaksa membayar balik pinjaman.
Untuk pinjaman bejumlah RM3,000, jumlah pinjaman yang kena dibayar balik setiap bulan adalah  adalah sekitar RM400 sebulan. Jika tidak dibayar, anak bini, saudara mara dan anggota keluarda di kampong akan diancam oleh pemberi pinjaman.
Mangsa Penganiayaan
Sampai di Malaysia, rata-rata mereka terniaya oleh sikap majikan yang tidak bertanggungjawab dan yang tidak mempunyai nilai-nilai kemanusiaan. Gaji dipotong setiap bulan kononnya untuk proses pemutihan tetapi usaha-usaha pemutihan tidak pun dibuat. Ada yang dibuat pemutihan dan sudah ada permit, gajinya pula tidak dibayar sehingga empat bulan.
Barangkali sukar untuk dipercayai tetapi ianya benar berlaku apabila seorang lelaki dari Indonesia hanya dibayar gaji pada kadar 35 sen sehari oleh majikannya di Pahang. Kerana tidak tahan, lelaki itu larikan diri seorang diri berbulan-bulan lamanya meredah hutan.
Sepanjang dalam pelarian itu, lelaki berkenaan hanya memakan pucuk kayu dan umbut-umbut untuk hilangkan lapar dan meminum air dari takungan tapak gajah untuk hilangkan dahaga.
Lelaki itu dijumpai tertiarap dalam keadaan yang sangat tidak bermaya dan hampir-hampir digilis oleh Toyota Hilux (pacuan 4 roda) seorang pemburu, yang kemudiannya membawa lelaki berkenaan keluar dari hutan dan ditinggalkan di perhentian keretapi.
Kini lelaki itu bekerja untuk seorang penduduk tempatan di Kampung Kubang Rusa, Merapoh, Pahang. Beliau berhasrat mahu balik ke kampong asalnya tetapi beliau takut untuk zahirkan diri kerana beliau tidak memiliki sebarang dokumen, malah nama kampong halaman sendiri pun diingat-ingat lupa kerana menjalani hidup yang sangat tertekan.
Penulis sendiri menemui lima lelaki Lombok yang menjadi mangsa penganiayaan majikan yang tidak bertanggungjawab,  yang tidak membayar gaji pekerja selama empat bulan dengan majikan berjanji  akan membuat pemutihan tetapi tidak dibuat pun sebagaimana yang dijanjikan  manakala yang memiliki permita pula permitnya dipegang oleh majikan.
Mereka adalah pekerja yang gigih dan mahir. Dengan pakatan tenaga lima orang, mereka mampu menurunkan buah sawit sekitar 10 tan sehari dan darinya Felcra Berhad memperolehi hasil tidak kurang dari RM7,500 sehari. Bagaimanapun kerana masalah dokumen,  mereka ditangkap pada awal pagi 10 Januari 2012 dan dibebaskan pada pukul 4.30 petang pada hari yang sama.
Gambar mereka dalam keadaan digari berantai ditonton oleh keluarga dan kesisi kampong mereka di kampong sehinggakan ibu kepada seorang lelaki berkenaan jatuh pengsan. Seisi kampong bersembahyang hajat mendoakan pembebasan mereka.
Pada 18 Januari, mereka ditangkap lagi dan kini ditahan di Depoh Tahanan PATI di Ajil Terengganu. Sehingga rencana ini ditulis, mereka masih gagal dibebaskan kerana atas alasan yang sudah ada permit hanya majikan asal mereka sahaja yang berhak menuntut pembesanan mereka.
Manakala dua orang daripada mereka hanya ada slip 6P dan dua lagi hanya ada passpot dan visa untuk membolehkan mereka tinggal di negara ini sudah tamat. Pihak Imgresen pastinya menjalankan tugas berdasarkan peraturan yang telah termaktub.
Anak isteri, ibubapa, saudara mara dan seisi keluarga lelaki berkenaan di Lombok Timur mengharapkan penulis membebaskan mereka dan seterusnya memutihkan mereka supaya lelaki berkenaan dapat terus mencari rezeki di negara ini bagi membaiki nasib keluarga dan seisi kampong.
Lelaki Lombok itu menghadapi masalah berdepan dengan buruan pihak berkuasa kerana mereka menjadi mangsa majikan yang tidak beretanggungjawab manakala penulis yang mengambil risiko atas nama kemanusiaan terdedah kepada ancaman dikenakan tindakan undang-undang kerana melindungi dan menggunakan khidmat rakyat asing  tanpa dokumen yang  sah.
Mereka sebagai  rakyat asing, anak bini, keluarga dan seisi kampung tidak mempunyai saluran untuk membuat aduan tentang nasib malang mereka berlima, justeru mereka mengharapkan usaha penulis untuk pembebasan dan penulis hanya mampu menjanjikan akan berusaha kerana penulis hanyalah umpama melukut tepi gantan sahaja sebagai warganegara.
Penulis mendapat maklumat, di Gua Musang (Kelantan) sahaja terdapat lebih 200 orang PATI hidup dalam  keadaan ketakutan dan terbiar dan menjadi hamba abdi kepada majikan yang tidak bertanggungjawab, jika cuba bersuara akan diugut untuk diserah kepada pihak berkuasa.
PATI-PATI itu  memerlukan pengecualian dan tolak ansur peraturan dan perundangan pihak berkuasa negara ini bagi membolehkan mereka pulang ke negara asal dengan selamat atau mereka diputihkan dan dapat menyumbangkan keringat untuk mencari rezeki dengan bernaung dibawah majikan yang bertanggungjawab dan mempunyai nilai kemanusiaan.
Di samping mahu mencari rezeki halal berstatus pekerja asing yang  berada di negara ini secara halal, secara tidak langsung negara ini  turut mendapat faedah hasil dari ketekunan mereka bekerja serta kecekapan dan kemahiran mereka dalam bidang kait sawit dan pruning sawit pokok tinggi.

Imej rakyat dan negara kena dipulihkan  pada  kacamata rakyat asing

Tindakan majikan yang tidak bertanggungjawab mahu tidak mahu akan dimaklumkan kepada anak isteri, saudara mara dan jiran sekampung bila mereka pulang ke negara asal nanti atau melalui perhubungan telefon dan internet.
Justeru itu demi imej rakyat dan negara ini, sebagai warganegara yang cintakan negara bertuah ini, penulis menjelaskan kepada para pekerja rakyat asing yang penulis gunakan khifmat mereka bahawa majikan yang memangsakan mereka tanpa ada nilai kemanusiaan hanya parasit kepada rakyat dan negara ini. Ianya bukan cermin sebenar ime kerajaan rakyat dan negara ini.
Hakikatnya kerajaan, rakyat dan peraturan serta perundangan negara ini bukan sahaja sentiasa adil kepada wargannya tetapi juga kepada rakyat asing yang terlantar di negara ini. Kerajaan, rakyat dan negara ini mengutamakan toleransi daripada penguatkuasaan peraturan dan perundangan, kecalui bagi mereka yang melakukan jenayah, terlibat dalam kegiatan dadah dan mengancam keselamatan dan ketenraman awam negara ini.
Sekiranya majikan yang tidak bertanggungjawab dapat dikesan, mereka pasti akan dikenakan tindakan sewajarnya. Sebenarnya untuk mengesan  majikan yang kejam, tidak bertanggungjawab dan boleh menjejaskan nama baik kerajaan, rakyat dan negara ini bukannya payah kerana pada slip 6P dan permit ada dicatatkan nama majikan.
Supaya keadilan benar-benar terlaksana di negara ini, maka dalam mengesan, memburu dan memberkas PATI, tindakan tegas tanpa kompromi juga patut ditujukan kepada para majikan yang kejam, tidak bertanggungjawab dan tidak berperikamanusiaan demi memelihara imej kerajaan, rakyat dan negara ini.

3 ulasan:

  1. anda juga termasuk dlm kategori majikan yg tidak bertanggungjwab sbb menggaji pekerja asing tanpa pas/permit yg sah..jika disabit kesalahan boleh didenda minimum rm10,000 bg setiap org pekerja yg diambil, dan jika melebihi 5 org boleh dikenakan sebatan shingga 6x..

    dan anda juga seorng warganegara yg tidak brtanggungjwab..

    BalasPadam
  2. nampak sangatkan pak cik ni tidak mempunyai jati diri dan semangat untuk mempertahankan tanahair. lebih mengagungkan warga asing yang salah daripada mempertahankan kedaulatan perlembagaan Malaysia dan sistem perundangan Malaysia. Pada saya pak cik ni dah menghina Kerajaan Malaysia kerana memperlekehkan perundangan Malaysia.

    Pak cik ni juga bukan seorang yang bertanggungjawab dan berperikemanusian serta bukan seorang yang suka menolong 5 orang Warga Lombok tersebut, tetapi seorang yang suka mengambil kesempatan diatas kesusahan dan kedaifan 5 lelaki lombok tersebut. sekiranya pak cik ni seorang yang betanggungjawab, 5 lelaki lombok tersebut diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.

    Setahu saya pihak berkuasa terutama yang bertugas di Pusat Tahanan Imigresen tidak sezalim apa yang telah pak cik tuliskan. Apa yang pak cik tulis tu adalah berdasarkan andaian dan bersikap prejudis terhadap kakitangan awam.

    Dalam hal ini, adalah baik sekiranya pihak berkuasa seperti Imigresen mengambil tindakan yang sewajarnya kepada pak cik meli ni kerana telah melanggar undang-undang Malaysia agar menjadi tauladan kepada majikan lain yang suka mengambil kesempatan di atas kesusahan dan kedaifan orang lain.

    BalasPadam
  3. Kedua-dua anda silap. Anda bercakap tentang apa yang anda tidak tahu. 2 dari lelaki Lombok itu iaitu Shahruddin dan Abdul Wahab ada slip 6P. Agen yang dibayar sedang uruskan buat permit. Tiga lagi belum ada slip 6P. Dua orang yakni Sudir dan Bakri ada paspot Indonesia manakala yang seorang lagi yakni Amat Ripaldi ada salinan permit. Saya dah jumpa pihak imigresen semasa mula-mula ambil mereka, tanya macam mana nak putihkan mereka. Oleh kerana saya duduk di Kota Bharu saya tanya imigresen di kota Bharu. Bila mereka kata mereka tak boleh bantu saya, maka saya urus dengan pihak atasan. Sebagai pengamal media sejak tahun 1973, saya bukan jahil sangat tentang peraturan dan perundangan. Saya tengah uruskan pemutihan mereka....bukannya ambil mereka kerja tanpa berusaha untuk putihkan mereka. Saya dah mengaku dalam surat kepada imigresen bahawa apa yang sayua buat itu salah tapi tolong tunjukkan saya bagimana cara dan formula untuk ianya tidak jadi salah. Kalau saya memangsakan kelima-lima lelaki tu, saya akan tak akan menjadi sahabat kepada anak isteri, ibubapa dan jiran sekampung mereka. Mereka dipijak, ditampar dan dielanjang-bogelkan dalam depoh itu mereka sendiri yang dakwa. Saya dah minta pegawai KDN jumpa kedua orang yang maklumkan pada saya tentang apa yang mereka dari rakan mereka alami dengan tidak menyatakan pegawai berkenaan dari KDN. Tapi orang yang dicadang tu tak pergi pun...asyik dengar pengakuan sesama orang KDN dan imigresen, bila nak dapat maklumat yang betul. Saya bukan baru berurusan dengan KDN...tahun-tahun 80-an lagi saya dan biasa dengan orang KDN.
    Saya nak didakwa kerana membelea kemanusiaan bukan setakat didenda, dipen jara atau dirotan, kalau dihukum bunuh sekali pun saya bersedia, namun demi untuk memurnikan imej kerajaan, rakyat dan negara ini, saya sanggup.

    BalasPadam