Sabtu, 3 Mac 2012

PULIH KEMBALI (09/2012)

Pejuang sentiasa terdedah kepada kesusahan dan musibah

GEMULAH tokcikku (seorang anggota Angkatan Pemuda Insaf atau API) yang sangat gembira bila aku memilih jadi penulis dan seterusnya menjadi seorang wartawan memberi pesanan berupa peringatan: mu akan berdepan dengan pelbagai kesusahan dan musibah. Mu kena tabah.

Beliau yang sedih apabila para nasionalis seperti Rashid Maidin, Abdullah CD, Shamsiah Fakeh, Kamarulzaman Awang Teh dan sebagainya yang memilih menyertai perjuangan bersenjata bagi menentang British dilabel sebagai anasir subversif, mahukan atas nama wartawan, aku temui dan dapatkan cerita sebenar dari para nasionalis yang dilabel sebagai anasir subversif.

Katanya sebagai wartawan dan penulis aku kena betulkan fakta yang telah ditinta oleh penjajah dengan berjumpa dan bertanya sendiri dengan tokoh-tokoh berkenaan bagi mendapatkan fakta sebenar, termasuk untuk melihat sikap sebenar Rashid Maidin yang dilabel sebagai ganas dan kejam.

Alhamdulillah, aku akhirnya dapat berjumpa beberapa kali dengan Haji Abdullah CD, Haji Rashid Maidin dan Haji Abu Samah Mohd Kassim (bekas askar Melayu yang menyertai perjuangan para nasioinalis) di perkampungan anugerah kerajaan Thailand di selatan negara gajah putih itu. Betul kata tokcikku, mereka tidak ganas dan kejam seperti yang didakyahkan.

Sayangnya masa aku berpeluang bertemu tokoh-tokoh berkenaan, Tokcikku dah mati. Aku menulis tentang kunjunganku ke perkampungan tokoh-tokoh berkenaan di Mingguan Eksklusif (kini tidak diterbitkan lagi) dalam bentuk tulisan bersiri dan aku didatangi oleh orang kerajaan (sekarang  orang berkenaan dah meninggal) dan mengatakan bahawa aku mungkin akan didakwa kerana cuba mengubah fakta sejarah.

Di sebelah Thailand pula aku menerima pesanan supaya jangan menyeberang, apatah lagi ke perkampungan para pejuang itu kerana mereka sangat marah dengan apa yang aku tulis. Tetapi sebelum kematian Rashid Maidin dan Abu Samah, aku ulangi kunjungan ke atas mereka beberapa kali, malah mereka mencadangkan aku bawa anak bini ke perkampungan mereka bila tiba musim buah.

Sebenarnya mukaddimah siri tulisan aku tidak disenangi kerana aku mulakan dengan gambaran keganasan dan kesubversifan mereka sebagaimana yang ada dalam kepala rakyat Malaysia kerana termakan catatan sejarah versi penjajah. Dari mereka, banyak aku dapat maklumat, termasuk tentang siapa yang mengusahakan perjanjinan damai.

"Aku masuk hutan bukan kerana memburu kepentingan diri tapi kerana agama, bangsa dan tanahairku. Aku tidak banyak pilihan selain dari memberi tentangan bersenjata kepada penjajah, supaya demo tahu bahawa pewaris pertiwi Tanah Melayu tidak bacul" itu kata-kata Rashid Maidin yang aku pegang. Beliau adalah orang Melayu pertama menyertai PKM. Dia gembira bila aku kata aku datang berjumpa beliau bagi memenuhi hasrat Dollah Sulong  tokcikku, seorang anggota API.

"Bagi aku adalah lebih mulia mati di muncung senapang sebagai pejuang dari dipenjarakan oleh penjajah kerana dianggap salah menentang penjajah untuk kemerdekaan negara. Lagi pun kami para nasionalis dah janji, antara kami di luar hutan dengan di dalam hutan kena bekerjasama bagi menjayakan matlamat memerdekakan negara. Burhanuddin Al-Helmy sering bantu kami. Dialah yang salurkan kejayaan kami menghapuskan agen-agen penjajah untuk disiarkan oleh Utusan Melayu" itu antara ungkapan Abdullah CD yang aku sentiasa ingat. Beliau adalah bekas wartawan Pelita Rakyat.

"Saya titih Bahaman yang anti penjajah. Saya menyertai perjuangan atas semangat Bahaman. Penjajah kena dihalau dari bumi warisan nusa. Tanah Melayu milik kita, kenapa kita mesti bertuankan penjajah di bumi milik kita. Tapi untuk jadi pejuang bukan mudah, banyak susah dan musibah yang kena diterima dengan redha. Anda juga akan hadapi macam-macam kesusahan dan musibah kalau anda gunakan bakat menulis dan profesyen kewartawanan dengan membawa bayangan nasiolis dalam menulis dan kerjaya kewartawanan anda" itu kata-kata Abu Samah yang aku ingat.

"Kerja menulis kerja mulia, kerja wartawan terdedah kepada bahaya. Mu akan jadi seorang yang banyak pihak tidak suka. Ketnya aku sediri suka menulis. Aku lebih puas bila aku selesai siapkan tulisan aku dari aku dapat selesaikan masalah yang tidak pernah selesai sebagai Menteri Besar. Bila mu ditakdirkan jadi penulis dan wartawan, bermakna mu seorang yang boleh senyum dalam tangis, boleh ketawa dalam sedih, boleh bermuka manis dalam kepayahan" itu antara kata Datuk Haji Muhammad Nasir, bekas Menteri Besar Kelantan dan pernah jadi Menteri Tanpa Jabatan Di Jabatan Perdana Menteri. Dia adalah guru menulis dan guru politikku.

Kata-kata mereka itu ada benarnya. Aku sentiasa terdedah kepada kesusahan dan musibah, ancaman dan ugutan dalam mengeksploitasi bakat dan minatku bagi kerja tulis menulis. Semasa jadi pemberita daerah Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) dan menulis tentang kegiatan penyeludupan, aku menerima panggilan supaya jangan ke Rantau Panjang kalau tidak mahu mati ditembak. Masa menjadi wartawan Harian Nasional, aku diseranah kerana buat pendedahan tentang orang Melayu sebelah Siam guna dua kad pengenalan dan didaftarkan sebagai pengundi.

Sebelum menulis mengenainya, aku cuba usahakan proses pembuatan kad pengenalan untuk orang Melayu sebelah Siam. Berbelas-belas orang berjaya dibuat kad pengenalan yang prosedurnya cukup mudah dan tidak memerlukan bayaran yang banyak mana pun walaupun ada pihak yang menguruskannya mengenakan bayaran sehingga RM5,000 ke atas. Aku menulis mengenainya setelah aku sendiri menguruskan permohonan membuat kad pengenalan untuk orang Siam dengan bertanya tentang fornula-formula yang kena ada.

Masa aku menjadi Ketua Biro Harian Watan bagi Negeri Kelantan, sekurang-kurangnya empat saman aku terima. Antaranya  dari Pas, dari Kelantan Water Sdn Bhd yang mengemukakan saman dengan tuntutan  bernilai RM8 juta dan juga dari Datuk Haji Ibrahim Ali. Sampai sekarang aku belum dipanggil untuk perbicaraan.

Dalam mengendalikan blog aku juga menerima surat saman dari Exco Kanan Kerajaan Pas Kelantan, Haji Husam Musa (kini Datuk Haji Husam). Manakala sebagai penulis bebas, gara-gara tulisanku di akhbar Utusan Malaysia, aku disaman bersama Utusan oleh Menteri Besar Kelantan, Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sebelum aku menceburi bidang kait sawit (yang kini aku tinggalkan) aku membantu kawan menjalankan proses cap jari dengan membuka pusat cap jari PATI di Paloh 5, Gua Musang. Dari risikan rambang tentang jumlah PATI di kawasan berkenaan, aku dapat jumlah rambang PATI dui Gua Musang.

Berdasarkan jumlah yang datang buat cap jari, bagi aku jumlah yang berbuat demikian tidak sampai pun 5 peratus dari jumlah PATI di Gua Musang. Antara alasan mereka yang enggan buat cap jari adalah kerana kosnya terlalu mahal. Untuk pergi sendiri ke imigresen mereka tidak ada kemudahan pengangkutan dan tidak tahu di mana lokasi pejabat imigresen.

Dari penglibatan aku membantu rakan dari Kuala Lumpur yang diberi lesen untuk urusan pemutihan PATI itulah, aku mendapat keluhan kebimbangan terhadap kesan sampingan dari proses pemutihan seandainya PATI memilih kembali ke negara asal manakala yang terus berada dalam keadaan tanpa dokumen ditahan dan dihantar pulang atau dikurung di depoh-depoh tahanan yang mana aku difahamkan setiap tahanan akan ditanggung makan minumnya pada kadar RM15 sehari bagi sekepala.

Atas asas itu, maka aku mula berminat untuk ceburi bidang sawit bagi mendapatkan maklumat lanjut. Aku mula menelefon sana sini untuk dapatkan peluang. Felcra dan PMBK Sawit ada peluang. Mula-mula aku bekalkan pekerja tempatan walaupun Felcra membantah. Aku kata kena cuba supaya wang negara tidak terus mengalir keluar kerana warga asing sedangkan ramai warganegara menganggur. Terbukti bantahan Felcra benar, sembilan warga tempatan yang aku bekalkan tidak mampu buat kerja yang diamanahkan.

Atas arahan pihak Felcra, pekerja-pekerja tempatan itu dikeluarkan. Bila aklu iklankan melalui blog tentang aku perlukan pekerja kait sawit, maka ada agen-agen yang hubungi untuk bekalkan pekera asing. Aku dibekalkan enam orang warga Nepal berpermit oleh agen. Bila bawa masuk ladang, ramai di antara mnereka yang dongak melihat buah sawit di atas pokok sambil geleng kepala. Bila aku tanya kepada yang pandai cakap Melayu kenapa geleng kepala, dia kata macam mana mahu naik, batangnya berkerutu. Pokok pula tinggi.

Aku kata ambil buah sawit bukannya dipanjat tetapi dikait guna galah bersabit. Tiga hari mereka ditempatkan di ladang, pihak Felcra call suruh bawa keluar. Orang yang aku bekalkan tak boleh kait sawit. Bila aku tanya kenapa tidak tahu kait sawit datang untuk kerja kait sawit. Kata orang Nepal tu mereka dimaklumkan kerja untuk mereka adalah di kilang sawit, bukannya kait sawit. Mereka tak pernah kait sawit tetapi biasa kerja kilang. Mereka rupanya ditipu. Aku yang rugi.

Dalam penempatan para pekerja-pekeja yang menyebabkan aku rugi itu, aku sempat berbual dengan para pekerja yang sedia ada di ladang milik kontraktir lain yang bercerita tentang betapa mereka lari lintang pukang kerana menyangkakan Cina yang datang ke ladang pada waktu malam untuk berburu babi adalah RELA dan imigresen. Ditanya kenapa lari, katanya mereka duduk dalam keadaan hitam, kalau ditangkap kena masuk kawasan kurungan. Aku kata apa salah masuk, makan minum free.

Dari mereka aku dapat cerita-cerita tentang kaeadan dalam depoh. Aku tidak percaya. Bila aku dapat lelaki Lombok dari agen setelah membayar upah pembekalan dan diuji kemampuan mereka, aku mula usahakan pemuitihan mereka walaupun masa aku dapat mereka, tempoh urusan cap jari dah tamat. Ada di antara mereka itu sudah acap masuk depoh dan sangat takut bila sebut depoh. Tapi aku kata apa-apa pun bila diserbu jangan lari, kalau kamu lari susah saya nak urus putihkan kamu.

Aku cuba meyakinkan mereka yang menjadi mangsa majikan yang tidak bertanggungjawab serta pengalaman pahit di depoh tahanan bahawa apa yang telah mereka alami sebelum ini hanyalah kebetulan dan itu bukan gambaran sebenar sikap orang Malaysia.

Aku layani mereka dengan baik dan berpesan supaya jangan dekati anak dara tempatan, kena ada displin. Kerana itu bila diserbu mereka tak lari. Mereka seronok dengan layanan saya sehingga isteri, ibubapa dan saudara mara di kampung buat panggilan telefon ucpak terima kasih, malah sehingga sekarang masih juga telefon dan mesej tanya khabar.

Bila ditangkap dan dibawa pergi ke depoh tanpa dimaklumkan kepadaku sebagai majikan dan dua darinya yang ada slip 6P dibebaskan, seorang darinya yang mengalami masalah pendengaran mengadu dikarate dan terpaksa merayu supaya jangan diperlakukan sebegitu. Mereka juga diminta bertelanjang bulat bagi tujuan pemeriksaan. Seorang daipada yang sudah acap kali masuk depoih mendakwa sebelumnya tidak pernah dibuat begitu dan kali pertama mengalami digari tangan dan kaki.

Dari mereka saya dimaklumkan SUDIR yang pertama kali kena tahan dan kurang arif dengan peraturan dalam keadan depoh dikasari, termasuk dipijak kerana tidak mengisytiharkan pemilikan wang. Jumlahnya sekitar RM20 sahaja. Bagaimanapun semasa disoalsiasat di Pasir Gudang dalam proses untuk penghantaran balik, SUDIR yang mahu segera bebas dari depoh menafikan dia dikasari. Mendapat maklumat itu, aku jumpa dua orang rakan mereka yang dibebasjab dan bertanya kenapa membohongi saya, kamu tidak dikasari dalam depoh tetapi kamu kata dikasari.

Pembohongan kamu boleh menyebabkan saya dipenjara. Mereka kata mereka tidak bohong. SUDIR memang dikasari. Bila aku kata SUDIR, BAKRI dan AMAT RIPALDI tidak jadi dihantar balik dan ditahan di Depoh Pekan Nenas, dia kata SUDIR sudah melakukan sesuatu yang bodoh kerana tidak bercakap benar.

Aku kata soalnya sekarang saya dituduh berbohong sedangkan saya lakukan ini supaya pihak atasan tahu apa sebenarnya yang berlaku dalam depoh dan sikap pihak yang menahan kamu supaya apa yang tidak baik dan boleh jejaskan imij kerajaan, rakyat dan negara ini dibaiki.

Kata aku kepada mereka, saya tidak mahu bila kamu balik ke negara asal nanti dengan apa yang kamu alami, kamu akan anggap kerajaan, rakyat dan negara ini kejam dan jahat walhal keadaan sebenarnya bukan begitu. Kalau kamu bercakap benar dan SUDIR yang berbohong dan kerana pembohongannya saya akan didakwa dan dipenjarakan. saya sedia terima hukuman dengan penuh redha. Saya dipenjara, disebat atau dihukum mati pun tak apa asalkan saya mati atas nama kebenaran. Saya tak mahu imej kerajaan, rakyat negara saya cemar di mata rakyat asing.

Dan kini saya dalam keadaan bersedia untuk hadapi segala kemungkinan. Dari sudut munasabahnya aku yang umpama seekor kuman tidak mampu melawan ribuan ekor gajah, Tapi demi kemurnian imej kerajaan, rakyat dan negara ini,  aku rela dan reda kerana aku yakin kalau seorang aku mati kerana kes ini, akan lahir ribuan lagi aku di negara ini. Aku yakin benar tentang itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan