Tolak Rundingan Perkongsian Trans-Pasifik
Pada Oktober 2010, Malaysia menyertai Rundingan Perkongsian Trans-Pasifik – Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang melibatkan Amerika Syarikat. Usaha Malaysia sebelum ini dalam rundingan FTA dengan Amerika Syarikat (AS) terhenti apabila mesyuarat menjadi buntu berhubung 58 isu yang menimbulkan perbalahan.
FTA Trans-Pasifik (TPFTA) sedang dirundingkan antara AS, Australia, Brunei, Chile, Malaysia, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam. Jepun, Kanada dan Mexico mungkin juga akan turut serta. Pegawai dari sembilan negara ini akan berada di Kuala Lumpur minggu ini untuk rundingan TPFTA.
Kebanyakan teks TPFTA masih rahsia, tetapi berdasarkan kepada apa yang telah dibocorkan dan dokumen kerajaan yang dikeluarkan, TPFTA memberikan kesan besar bagi rakyat Malaysia beberapa generasi. Sesetengah daripadanya disenaraikan di bawah.
Dalam cadangan yang dibocorkan itu, AS menuntut perlindungan hak harta intelek yang lebih kukuh berbanding yang diminta dari negara yang lebih maju daripada Malaysia. Cadangan ini jika diterima akan meningkatkan harga ubatan yang lebih lama di Malaysia ketika kemampuan kerajaan untuk mensubsidikan ubat di bawah tekanan daripada belanjawan defisit. AS terus membuat tuntutan ini walaupun ia bertentangan dengan saranan Pelapor Khas PBB berhubung Hak untuk Kesihatan.
Tuntutan hak intelek AS akan menjadikan input lebih mahal bagi petani dan melanjutkan perlindungan hak cipta, menjadikan tempohnya 120 tahun (bukannya 50 tahun pada masa kini) sebelum beberapa buku boleh disalin.
Dalam TPFTA, AS juga cenderung untuk meminta perlindungan yang lebih kukuh untuk pelaburnya. Perlindungan ini sedia wujud dalam FTA AS sebelum ini yang memerlukan kerajaan membayar berjuta dolar dalam bentuk pampasan bagi alam sekitar dan kesihatan serta peraturan lain kerana ia tidak sesuai dengan pelabur asing. Kerajaan Australia enggan membenarkan pelabur asing menyamannya di mahkamah antarabangsa dalam cara ini kerana bimbang mengenai batasan yang diletakkan ke atas kemampuan mereka untuk mengawal.
Jika Kerajaan Australia memutuskan untuk menyetujui terhadap perkara ini dalam TPFTA kerana tidak mampu menanggung bayaran perundangan dan bayaran pampasan serta ia perlu mampu mengawalnya, bagaimana Kerajaan Malaysia boleh bersetuju terhadap tuntutan itu?
Menurut garis panduan TPFTA yang dikeluarkan oleh APEC baru-baru ini, negara TPFTA telah bersetuju untuk membuka pemerolehan kerajaan kepada syarikat dan produk dari setiap negara lain dan ‘mendapatkan liputan pemerolehan yang sama bagi semua negara’. Perjanjian Kerajaan Malaysia berhubung perkara ini akan menjejaskan DEB dan dasar penggantinya dengan membuka pemerolehan yang disenaraikan oleh kementerian kepada syarikat dan produk termasuk dari Singapura dan AS.
Sebelum ini, kerajaan telah membuat jaminan awam bahawa ia tidak akan mengorbankan kepentingan negara kita dalam usaha untuk berunding dengan AS. Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz berkata kerajaan tidak akan membuang dasar bumiputera (laporan AFP, 19 Mac 2007). Apa yang telah berubah sehingga Malaysia boleh membuka pemerolehan kerajaan sekarang?
Kerajaan Malaysia berpendirian tegas dan menolak tuntutan AS yang sama dalam FTA pada masa lalu. Kami berharap ia melakukan perkara yang sama pada masa ini demi untuk kebaikan kita semua.
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Sahabat Alam Malaysia (SAM)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan