Nik Aziz tidak akan kondem Ustaz Budak demi kepentingan politik
KALAU benar Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan seorang ilmuan Islam yang layak berstatus ulamak, beliau akan segera memanggil, menasihat dan tampil di pentas ceramah bersama Shamsul Zaman Sukri@Ustaz Budak dan meminta budak yang ceramah-ceramah serta kuliahnya banyak celupar itu bertaubat dan mengakui keterlanjuran menyamakan dan menserupakan ulamak dan Nik Aziz dengan Nabi.
Malah bertolak-titik dari tragedi itu, Nik Aziz pasti akan mengingatkan para ceramah Pas supaya jangan melampau dalam ketaksuban terhadap parti, apatah lagi ke atas dirinya sebagai individu yang bukan sahaja tidak cukup layak untuk disamakan dan diserupakan dengan nabi tetapi untuk menyama dan menserupakannya dengan ulamak tamada, bukan lagi ulamak muktabar, belum tentu layak pun.
Bagi saya kalangan yang boleh dikategorikan sebagai ulamak-ulamak muktabar paling koman pun adalah para pengasas Mazhad yang empat manakala ulamak-ulamak selepas ulamak muktabar itu hanya layak dikategorikan sebagai ulamak dahan dan ranting kepada ulamak muktabar, malah boleh distatuskan sebagai ulamak 'tamada' atau ulamak 'batat' pada zaman mutkahir ini.
Ini adalah kerana ilmu yang dimiliki oleh ulamat 'batat' atau ulamak 'tamada' adalah yang ditimba dari para ilmuan yang sudah banyak lapis, banyak peringkat atau banyak tangga, bukannya diambil dari para sahabat atau alim ulamak yang hidup semasa hayat Rasulullah s.a.w. atau pada hayat para sahabat yang telah diperakukan sebagai ahli syurga yang mana sebagai ahli syurga, ilmu amal pasti tidak ada yang tidak benar melainkan benar belaka.
Apa yang difatwakan, pandangan dan pendirian ulamak-ulamak pada era selepas kewafatan baginda Rasulullah s.a.w. serta selepas kematian para sahabat dan ilmuan yang hidup selepas hayat Rasulullah s.a.w. perlu dirujuk al-Quran dan Hadis supaya ada keselarian dengan apa yang terkandung dalam al-Quran dan hadis sebelum diterima atau ditolak.
Percaya bulat-bulat kepada ulamak 'tamada' atau ilamak 'batat' tanpa merujuk al-Quran dan Hadis boleh menyumbang kepada kemungkinan tidak selari dengan ajaran Islam sebenar. Lagi pun merujuk al-Quran dan Hadis adalah sangat dituntut. Ini bersandarkan pesanan Rasulullah s.a.w. bahawa jika umat baginda berpegang kepada keduanya, pasti akan selamat dari sebarang kesesatan.
Maknanya pada zaman yang kerana feseyen berpakaian atau fesyen rambut sahaja yang kononnya ikut trend dan sejajar dengan ketamadunan dan kemajuan pemikiran dan keilmuan manusia, kita boleh bertukar antara lelaki dengan perempuan, maka dalam menerima, menstatus dan mengiktirafkan ulamak pun perlu hati-hati dan jangan ikut bulat-bulat apa yang dikatakan oleh apa yang dinamakan ulamak sebelum disah-pastikan apa yang dikatakan oleh ulamak 'tamada' atau ulamak 'batat' benar-benar selari dengan apa yang terkandung dalam al-Quran dan Hadis.
Secara jujurnya saya agak ragu tentang kelayakkan kepatutan Nik Aziz untuk distatus dan diiktirafkan sebagai ulamak kerana banyak apa yang dipercakap dan yang menjadi pendiriannya bukan sahaja tidak disebut oleh Rasulullah s.a.w., tetapi juga oleh para sahabat dan ulamak 'jamen ghitu' (ulamak yang mendapat ilmu hukum hakam dari para sahabat yang hidup pada hayat Rasulullah s.a.w. dan para sahabat).
Sebaliknya Nik Aziz lebih condong kepada seorang ahli politik kepartian. Dalam mengulas isu Shamsul Zaman Sukri@Ustaz Budak uang menyama dan menserupakannya dan ulamak dengan nabi misalnya, beliau berkata beliau tidak berasa dukacita dengan tindakan Shamsul Zaman Sukri@Ustaz Budak walaupun ia menyentuh soal akidah sebagaimana yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia 6 Disember.
Kalau tidak berdukacita bermakna beliau tidak membantah, sebaliknya merestui tindakan Shamsul Zaman Sukri@Ustaz Budak. Kerestuannya itu semakin jelas apabila beliau berpendapat tidak perlu memberi nasihat kepada penyokong Pas supaya tidak terlalu taksub kepada pemimpin. Pendapatnya itu secara tidak langsung memberi kefahaman kepada umum bahawa ketaksuban kepada pemimpin tidak salah dalam Pas, malah mungkin ianya suatu keperluan.
Pun begitu Shamsul Zaman Sukri@Ustaz Budak akan tanggung risiko dan padahnya sendiri atas apa yang dilakukannya apabila Nik Aziz kata beliau tidak bertanggungjawab, sebaliknya Shamsul Zaman Sukri sendiri yang kena bertanggungjawab atas apa yang dilakukan. Nik Aziz memperakukan beliau tidak menghubungi Shamsul Zaman Sukri@Ustaz Budak. Ada unsur-unsur keangkuhan dan kesombongan serta kenafsi-nafsian bila kalangan yang taksub kepadanya berbuat sesuatu yang boleh mendatangkan musibah ekoran dari ketaksuban itu.
Nik Aziz juga cuba mempalitkan kesilapan, keterlanjuran dan kekufuran yang dilakukan oleh pihak yang taksub kepadanya dengan mengaitkan dengan orang lain apabila beliau berkata: "Saya hendak jawab begini, kalau orang menyamakan saya dengan nabi adalah kufur, maka orang yang tolak Islam juga kufur, sama ada tolak Islam berganti dengan demokrasi atau kebangsaan juga boleh membawa kufur serupa jugalah...."
Pada kefahaman saya (kalau tersilap saya memohon keampunan kepada Allah), Nik Aziz tidak menganggap menyama dan menserupakan dirinya dan ualamak dengan nabi tidak salah dan tidak membawa kepada kekufuran apabila beliau berkata: ".....Saya tidak ada apa-apa (dukacita), dia kata". Maknanya bagi Nik Aziz Shamsul Zaman Sukri@Ustaz Budak tidak melakukan kekufuran walaupun para mufti, termasuk Mufti Kerajaan Kelantan Datuk Muhamad Shukri Mohamad mahukan Shamsul Zaman Sukri@Budak Budak bertaubat kerana menyamakan ulamak dan Nik Aziz dengan nabi.
Nik Aziz semacam menyanggah panadangan para mufti dan berdasarkan rekod masa lalu memang beliau sering berbuat demikian, pastinya kerana beliau menganggap para mufti tidak mencapai status ulamak di samping keilmuan para mufti tidak mencapai taraf keilmuannya, apatah lagi di kalangan mufti yang tidak menyokong Pas yang mana beliau adalah mursyidul amnya.
Sesungguhnya tidak pelik kalau Nik Aziz tidak menganggap menyamakan dan menserupakan ulamak dan dirinya dengan nabi satu kesalahan, satu kekufuran dan tindakan yang boleh merosakkan akidah kerana sebagai pemain politik, pendewaan, pemujaan, pemberhalaan dan ketaksuban terhadap dirinya dan parti yang didukunginya tentulah menjadi satu keperluan supaya dilihat hebat dan berpengaruh olrh pengundi.
Terpulanglah kepada orang ramai sebagai pengundi untuk bersetuju atau menolak pendirian Nik Aziz. Bagaimanapun adalah lebih elok kalau al-Quran dan Hadis dirujuk sebelum menyokong atau menolak pendirian Nik Aziz atau mana-mana ilmuan Islam supaya kita tdak akan hanya laba di dunia tetapi rugi di akhirat, sebaliknya biarlah kita untung di dunia dan untung juga di akhirat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan