Sabtu, 17 Disember 2011

PULIH KEMBALI (37/2011)

Pulihkan sungai bantu selesaikan masalah air di Kelantan

KOTA BHARU: Tanah, air, api dan angin adalah keperluan mutlak dalam kehidupan. Jika salah satu daripadanya tidak sempurna, maka akan cacatlah keperluan kehidupan. Menjadi tanggungjawab pihak yang menguruskannya untuk menjaga kesempurnaan keempat-empat keperluan mutlak itu, kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Menyelamatkan Sungai, Kayu Kayan Dan Alam Sekitar Negeri Kelantan (JBMSKDASNK), Encik Mohd. Noor Ibrahim.

Dalam satu kenyataan akhbarnya di sini hari ini, beliau berkata yang bertanggungjawab dalam pengurusan keemat-empat keperluan mutlak itu adalah kerajaan yang menerima mandat rakyat. Kegagalan dalam mengurus-tadbir salah satu daripada keempat-empat keperluan mutlak itu adalah merupakan kegagalan sesebuah kerajaan, apatah lagi kalau tidak sempurna keempat-empatnya sekali.

"Kalau didapati gagal mendapat keperluan mutlak dengan sempurna dan rakyat bertindak menarik balik mandat, kerajaan yang diberi mandat jangan pelik, apatah lagi menyifatkan rakyat silap dalam membuat pemilihan, sebaliknya kenalah memperakukan kesilapan dam kegagalan sendiri" ujarnya yang mendakwa Kerajaan Kelantan kini sedang menghadapi krisis kegagalan mengurus-tadbir keperluan mutlak rakyat.

Yang paling ketara, katanya, adalah air yang merupakan satu daripada empat keperluan mutlak. Masalah air tidak sepatutnya berlaku di Kelantan yang banyak punca bekalan air yang boleh dieksploitasi terana terdapat banyak sungai yang mana bila musim tengkujuh airnya cepat melimpah dan akan berlaku banjir. Sepatutnya industri pembotolan air di Kelantan menjadi industri pelik dan tidak berpelanggan, bukannya menjadi industri yang melabakan kerana pembekalan air dibawah tanggungjawab kerajaan tidak bermutu.

"Kerana gagal menguruskan sungai, kayu kayan dan alam sekitar, air menjadi masalah yang agak kronik gara-gara sungai gagal dan tidak dijaga serta diselia dengan bijaksana, bertanggunhgjawab dan profesional sehingga sungai sempit dan cetek serta airnya kerana kawasan tadahan hujan dimusnahkan oleh angkara kerakusan pembukaan ladang dan pembalakan serta pengambilan pasir sungai yang tidak terkawal. Dulu air sungai, termasuk Sungai Kelantan sebagai sungai induk mengalir jernih tetapi sekarang apa yang berlaku" tanya beliau.

"Aliran air Sungai Kelantan khususnya kini keruh pekat dan alirannya lesu. Airnya bukan sahaja tidak lalu diminum tetapi nak mandi pun tak tergamak. Sungai pula semakin sempit dan cetek. Itu semua berlaku kerana kerakusan aktiviti pembukaan ladang, pembalakan dan pengambilan pasir yang tanpa mematuhi peraturan dan perundangan. Sungai adalah adalah antara anugerah Allah yang tidak patut dimusnahkan" tokoknya.

Mohd.Noor berkata seandainya tidak ada usaha dibuat bagi menjaga dan memulihara sungai, masalah yang dialami sama ada yang berkaitan dengan air, kayu kayan dan juga alam  sekitar yang dihadapi sekarang akan lebih kronik bagi generasi akan datang kerana bilangan mereka akan lebih ramai sedangkan sungai bukan sahaja tidak akan bertambah tetapi akan semakin sempit dan cetek jika tidak dijaga dan dipulihara secara pro-aktif.

"Atas kesedaran itulah maka JBMSKDASNK dengan dinaungi Koperasi Petani dan Nelayan Kelantan Berhad dan Persatuan Perlindungan Pengguna Kelantan diwujudkan sebagai sebuah badan bukan kerajaan atau NGO bebas politik kepartian untuk menjadi wasilah penyampaian buah fikiran, cadangan dan teguran membina kepada pihak kerajaan berkaitan dengan sungai, kayu kayan dan alam sekitar. Anggota JBMSKDASNK adalah individu yang rapat dan bergelumanng dengan sungai, kayu kayan dan alam sekitar" tegasnya.

Katanya, melihat kepada keadaan sungai, kayu kayan dan alam sekitar sangat terdedah kepada pemusnahan kronik dan generasi akan datang terdedah kepada kemungkinan hilang hak bagi mendapatkan kesempurnaan keperluan mutlak, JBMSKDASNK telah membuat kunjungan ke beberpa buah jabatan. Antaranya Jabatan Parit Dan Saliran (JPS) serta Jabatan Alam Sekitar.

"Kami terkejut apabila diberitahu memang ada peraturan dan perundangan dalam pembukaan ladang, pembalakan dan pengambilan pasir tetapi tidak dipatuhi dan telah menjadi punca kepada pemusnahan sungai, kayu kayan dan alam sekitar. Tambah memeranjatkan apabila JPS dan Jabatan Alam Sekitar tidak dibolehkan bertindak ke atas pihak yang melanggar peraturan dan perundangan. Ini adalah kerana yang terlibat dalam aktiviti-aktiviti pembukaan ladang, pembalakan dan pengambilan pasir itu dinaungi oleh pihak kerajaan juga" ujar.

Bagi maksud menyelamatkan sungai, kayu kayan dan alam sekitar dan penyediaan keperluan mutlak kehidupan tidak terbantut, JBMSKDASNK berpandangan peraturan dan perundangan yang sedia ada dikuatkuasakan dan jabatan-jabatan berkaitan seperti JPS dan Jabatan Alam Sekitar kena diberi kuasa menahan dan mendakwa tanpa kompromi mana-mana pihak yang melanggar peraturan dan perundangan dalam pembukaan ladang, pembalakan dan pengambilan pasir.

Bagaimanapun, katanya,  JBMSKDASNK hanya boleh membuka jalan cadangan, para wakil rakyat yang menerima mandatlah yang kena usahakannya dengan dipersidangkan di dalam dewan dan diminitkan untuk pelaksanaan. Hal yang sangat kronik ini perlu disegerakan perbincangan dan berbahasannya.Hentikan dari terlalu mementingkan politik kepartian.Wakil-wakil rakyat mewakili kerajaan dan pembangkang kena bersatu dalam membela kepentingan rakyat dan negeri yang turut menjadi kepentingan mereka juga sebagai wakil rakyat.

Mohd Noor berkata JBMSKDASNK dengan kerjasama badan naungan pada masa ini akan memberi tumpuan kepada menyuarakan, mencadangkan dan membuat teguran membinaan berkaitan masalah air dengan menekan kepercayaan bahawa sekiranya sungai-sungai dapat dikembalikan dalam keadaan asal, soal bekalan air tidak akan menjadi masalah di Kelantan kerana sungai boleh dijadikan punca air tanpa perlu menggali telaga seperti yang dilakukan sekarang dengan menelan belanja yang besar tetapi gagal menghasilkan bekalan air yang berkualiti kepada pengguna.

Katanya harus disedari oleh semua pihak bahawa sungai ada penjaganya sebagaimana pokok kayu kayan dan tumbuhan-tumbuhan ada penjaga. Penjaga sungai adalah Nabi Khaidir kerana itu bila mahu diambil air sungai kena diberi salam kepada Nabi Khiadir manakala untuk mengambil pokok dan tumbuh-tumbuhan kena memberi salam pada nabi Ilias. Kalau dimusnahkan sungai,kayu kayan dan alam sekitar mahu tidak mahu kita akan berdepan dengan kemarahan penjaganya. Bila penjaga marah pasti perkara buruk akan berlaku.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan